Utusan Khas China bagi Isu Asia Barat Temui TPM UAE

Peperangan yang sedang marak di seluruh rantau Teluk sudah dalam perhatian China, yang sejak sekian lama berpandangan bahawa kedaulatan, keselamatan dan keutuhan wilayah setiap negara di rantau Teluk harus dihormati, dan sebarang serangan terhadap orang awam atau sasaran bukan ketenteraan harus mendapat kecaman.

Demikian dinyatakan Utusan Khas China bagi Isu Asia Barat, Zhai Jun ketika menghadiri pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang juga Menteri Luar  Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan di sini pada Selasa.

Menurut Zhai, China menghargai usaha yang dilakukan UAE selepas tercetusnya peperangan di rantau Teluk yang disifatkannya sebagai “bertanggungjawab, bersabar dan bersikap tenang”, bersedia untuk terus meningkatkan interaksi dan penyelarasan dengan UAE serta berusaha bersama-sama bagi mendorong pihak-pihak terbabit merealisasikan gencatan senjata secepat mungkin. Selain itu, China berharap agar UAE terus bertindak menjaga keselamatan warga dan institusi China di negaranya.

Sementara itu, Sheikh Abdullah telah berkongsi situasi semasa di rantau Teluk serta pendirian negaranya. Pihak UAE merakamkan penghargaan atas pendirian China yang menegakkan keadilan, amat menitikberatkan kepentingan peranan China, dan mengalu-alukan usaha pengantaraan yang dilakukan Utusan Khas China di rantau Teluk. Selain bersedia bekerjasama dengan China untuk meredakan ketegangan situasi semasa di rantau Teluk, UAE juga tidak berpolemik dalam menjaga keselamatan warga dan institusi China di negaranya.

Semasa lawatan di UAE, Zhai Jun juga menghadiri pertemuan dengan Utusan Khas Presiden UAE bagi Hal Ehwal China, Khaldoon Khalifa Al Mubarak dan bertukar-tukar pandangan secara mendalam mengenai usaha mengembangkan lagi hubungan kedua-dua negara.