Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin bersama-sama menghadiri majlis pelancaran “Tahun Pendidikan China-Rusia” di Dewan Besar Rakyat di Beijing pada Rabu petang.
Dalam ucapannya Xi berkata, tahun ini merupakan ulang tahun ke-30 Perkongsian Strategik China-Rusia serta ulang tahun ke-25 Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama Kejiranan China-Rusia.
Ujarnya, pelancaran “Tahun Pendidikan China-Rusia” dalam tahun yang mempunyai makna istimewa itu merupakan keputusan strategik yang dibuat bersama oleh beliau dan Putin demi pembangunan jangka panjang hubungan kedua-dua negara.
Xi berkata kedua-dua pihak perlu menggunakan platform tersebut untuk memperkukuh persefahaman, memperluas bidang kerjasama dan meningkatkan hubungan pendidikan kedua-dua negara.
Beliau turut menyeru pengukuhan kerjasama latihan bakat bagi menyokong pembangunan inovasi China-Rusia, selain memperkukuh pertukaran tamadun dan perkongsian pengalaman tadbir urus pendidikan.
Malah katanya, hubungan persahabatan antara rakyat kedua-dua negara juga perlu diteruskan dengan memperluas potensi kerjasama pendidikan dan meningkatkan persefahaman antara rakyat.
Sementara itu, Putin berkata bahawa kerjasama pendidikan adalah komponen penting yang tidak boleh dipisahkan dalam hubungan perkongsian strategik menyeluruh antara kedua-dua negara, dan pelancaran “Tahun Pendidikan Rusia-China” memberi makna yang amat penting.
“Rusia bersedia bersama China untuk memperkukuhkan kerjasama pendidikan, meningkatkan persefahaman antara generasi muda, memastikan kesinambungan persahabatan Rusia-China, dan memajukan perkembangan hubungan bilateral,” katanya lagi.













Tinggalkan Balasan