KUALA LUMPUR, 26 Mac — Malaysia dan China bertekad untuk terus memperkasa hubungan diplomatik serta kerjasama keselamatan bagi memastikan kemakmuran yang dinikmati kedua-dua negara dari aspek sosial dan ekonomi sentiasa terpelihara dalam mendepani cabaran masa hadapan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dibincangkan semasa beliau menerima kunjungan hormat Menteri Keselamatan Dalam Negeri China Chen Yixin yang berkunjung ke Malaysia sebagai lawatan pertamanya ke negara sahabat tahun ini.
“Perbincangan kami terarah kepada perihal hubungan dua hala dari sisi kerjasama keselamatan dua negara serta situasi geopolitik semasa dunia yang menuntut kerjasama erat dua negara sahabat dalam memastikan keselamatan dan kestabilan rantau ini terus utuh.
“Moga kemajuan yang dicapai bersama oleh kedua-dua negara dalam pelbagai aspek akan terus menjadi dorongan untuk terus memacu hubungan akrab Malaysia dan China,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
Anwar berkata sebagai rakan akrab kepada Malaysia, kehadiran tokoh kepimpinan tinggi dari Kerajaan China merupakan suatu ehwal yang sangat dihargai oleh beliau dan seluruh jentera Kerajaan MADANI.















Tinggalkan Balasan