MB Negeri Sembilan Perjelas Isu Tandatangan Surat Cara Proklamasi

SEREMBAN, 9 Sept — Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Ismail Lasim hari ini menjelaskan Surat Cara Proklamasi yang tular menerusi kenyataan media malam tadi, telah ditandatangani tanpa rela hati dan secara paksaan. 

Ismail berkata beliau telah membuat laporan polis kira-kira 6 petang semalam bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa. 

“Merujuk kepada isu dokumen Surat Cara Proklamasi (Surat Cara tersebut) yang tular dalam kenyataan media pada malam 8 Sept, saya ingin menjelaskan bahawa Surat Cara tersebut telah saya tandatangani tanpa rela hati dan secara paksaan.

“Kerajaan Negeri berpendirian bahawa Surat Cara tersebut tidak memenuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata susulan itu perkara tersebut adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Seterusnya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan bersidang semalam antara lain turut  membincangkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Pendamai sebagai wadah untuk mencari penyelesaian isu adat secara harmoni, berhemah dan berlandaskan semangat muafakat.

Beliau berkata Kerajaan Negeri turut merujuk kepada Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Persekutuan menjamin hak dan kedudukan Raja di sisi Perlembagaan serta perlu mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kemuliaan dan kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan terus terpelihara.

“Saya sekali lagi menzahirkan sokongan penuh serta taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada DYMM Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai satu-satunya Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan berdaulat,” katanya.

Media melaporkan Ismail didakwa telah menandatangani surat cara proklamasi berkaitan Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Dokumen yang didakwa mengandungi bukti tandatangan berkenaan didedahkan pada satu sidang media malam tadi.