Dialog ‘China in Springtime’ Berlangsung di Abu Dhabi‌

Dialog ‘China in Springtime‘ berlangsung di Abu Dhabi‌, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Rabu dengan berfokuskan tema ‘pembangunan China, peluang buat dunia’.

Acara itu dianjurkan Kumpulan Media China (CMG) bersama Kedutaan Besar China di UAE, Konsulat Jeneral China di Dubai serta Pusat Penyelidikan dan Khidmat Nasihat TRENDS UAE.

Presiden CMG Shen Haixiong dalam ucapan videonya berkata garis panduan Rancangan Lima Tahun (FYP) ke-15 yang diluluskan sempena persidangan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) dan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) pada tahun ini merupakan pelan menyasar pembangunan berkualiti tinggi, sekali gus membawa peluang baharu kepada dunia.

CMG komited memanfaatkan kelebihan sendiri dari segi penyiaran bersepadu, inovasi teknologi dan sumber media untuk mendorong hasil modenisasi ala China membawa faedah lebih besar buat dunia, kata beliau.

Duta Besar China ke UAE, Zeng Jixin dalam ucapannya berkata China terus mengeluarkan mesej yang jelas untuk memperkasa keterbukaan bertaraf tinggi sempena sidang tahunan NPC dan CPPCC baru-baru ini.

China juga komited memantapkan kerjasama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) secara berkualiti tinggi, di samping berusaha merungkai masalah pembangunan melalui keterbukaan dan keterangkuman serta menggembleng kerjasama berdasarkan prinsip sama menang.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TRENDS, Dr. Mohammed Abdullah Al-Ali berkata falsafah pembangunan yang diamalkan China serta pengalaman diraihnya boleh menjadi rujukan kepada negara-negara di dunia.

Beliau berpendapat bahawa matlamat utama pembangunan sosioekonomi yang ditetapkan China bagi tempoh FYP ke-15 turut memperkukuh keyakinan dunia terhadap prospek pembangunan ekonomi negara Tembok Besar.