GENEVA, 11 Sept — Beberapa orang maut manakala yang lain cedera selepas sebuah bas persiaran terbabit dalam kemalangan di timur Switzerland pada Khamis, menurut polis.
Menurut Anadolu Ajansi (AA), Polis Kanton Graubunden pada awalnya melaporkan kemalangan itu kira-kira 6.30 petang waktu tempatan dengan memaklumkan bahawa sebuah bas persiaran terbabit dalam kemalangan antara kawasan perbandaran Susch dan Zernez serta beberapa perkhidmatan kecemasan telah dikerahkan ke lokasi.
Polis kemudian mengesahkan menerusi hantaran di X bahawa “beberapa orang” maut dan beberapa yang lain cedera. Pihak berkuasa tidak memberikan jumlah sebenar korban atau butiran mengenai punca kemalangan itu setakat ini.
Bas itu dilaporkan milik sebuah syarikat pengendali pelancongan dari Belanda dan membawa sekumpulan 48 orang, menurut akhbar Switzerland Blick yang memetik jurucakap ANVR, organisasi penaung bagi industri pelancongan Belanda.
Menurut laporan itu, majoriti penumpang bas berkenaan merupakan warga Belanda.
Kumpulan itu memulakan perjalanan mereka pada Isnin, namun lokasi berlepas dan destinasi mereka masih belum diketahui.
Polis menyediakan talian penting untuk anggota keluarga dan pihak konsulat yang ingin mendapatkan maklumat mengenai kemalangan itu.













Tinggalkan Balasan