Kementerian Digital Jamin Isu Pas Pekerjaan Bakat Teknologi Ditangani Menyeluruh

PUTRAJAYA, 29 Mac –Kementerian Digital memberi jaminan isu pemprosesan Pas Pekerjaan (EP) bagi bakat teknologi sedang diteliti secara aktif dan menyeluruh bagi memastikan kelancaran ekosistem Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS).

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Digital memaklumkan pelbagai sesi libat urus sedang giat dilaksanakan bersama-sama agensi berkaitan termasuk Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta pemain industri.

“Pendekatan ini bertujuan memahami secara menyeluruh kebimbangan yang dibangkitkan di samping mengenal pasti langkah penambahbaikan bersesuaian dalam jangka pendek dan panjang,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Digital memaklumkan sektor GBS antara pemacu utama ekonomi digital negara yang menyumbang secara signifikan kepada pelaburan, penciptaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan pengukuhan kedudukan Malaysia sebagai hab digital serantau.

Kementerian itu memaklumkan MDEC telah mempergiat usaha bagi menangani peningkatan ketara dalam jumlah permohonan baharu, termasuk menambah kapasiti sumber tenaga kerja bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

“Selain itu, MDEC turut melaksanakan sesi libat urus bersama-sama persatuan industri utama seperti GBS Malaysia (Majlis Perkhidmatan Perniagaan Global Digital Malaysia, cabang PIKOM) dan Contact Centre Association of Malaysia (CCAM) bagi memaklumkan perkembangan semasa,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Digital dalam hantaran itu menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh penyelarasan dengan agensi berkaitan di samping melaksanakan penambahbaikan proses secara berterusan bagi mempercepat tempoh kelulusan secara lebih lancar.

“Maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa selaras dengan perkembangan semakan dan hasil sesi libat urus semua pihak berkaitan,” menurut kenyataan itu.