JOHOR BAHRU, 29 Mac — Kerajaan menumpukan usaha mengimbangi kebajikan rakyat, tekanan inflasi dan pertumbuhan ekonomi susulan ketidaktentuan global akibat konflik Asia Barat dengan sasaran pertumbuhan 2026 kekal pada 4.0 hingga 4.5 peratus setakat ini.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata unjuran itu mengambil kira pelbagai risiko semasa termasuk ketegangan geopolitik serta gangguan rantaian bekalan global, namun sebarang perubahan sasaran pertumbuhan ekonomi itu akan dimaklumkan oleh Bank Negara Malaysia.
Dalam pada itu, Akmal berkata bagi meneruskan pertumbuhan ekonomi perbelanjaan domestik perlu dikekalkan mengikut keperluan, pelaburan swasta terus dipacu serta pelaksanaan projek pembangunan kerajaan diteruskan dan berjalan seperti dirancang.
Beliau berkata pada masa sama kerajaan perlu menyeimbangkan antara keperluan melindungi kebajikan rakyat dengan usaha memastikan momentum pertumbuhan ekonomi terus kekal.
“Tekanan terbesar yang perlu kita hadapi ketika ini berkait dengan isu bekalan minyak dan inflasi, namun imbangan itu perlu dibuat dengan memastikan pertumbuhan ekonomi tidak terjejas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Johor Bahru di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan juga telah mengaktifkan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang kini bersidang secara mingguan bagi memantau perkembangan semasa berdasarkan data terkini serta meneliti langkah bersesuaian menangani impak konflik berkenaan.
Akmal Nasrullah berkata hasil perbincangan MTEN itu akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk diputuskan.
Pada masa sama, katanya Kementerian Ekonomi turut mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi mendapatkan maklum balas berhubung cabaran semasa serta langkah meredakan kesan tekanan ekonomi.
Beliau berkata kerajaan turut memberi perhatian kepada jaminan bekalan domestik termasuk tenaga, dengan langkah-langkah perlu sedang diambil bagi memastikan kelangsungan bekalan dalam tempoh jangka sederhana.
Sebelum ini, kerajaan mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi 2026 pada kadar 4.0 hingga 4.5 peratus meskipun berdepan ketidaktentuan global, dengan penilaian semula akan dibuat dari semasa ke semasa berdasarkan perkembangan terkini.

















Tinggalkan Balasan