Raja Muda Perlis Lancar Memoir Dato’ Keith Li ‘My Thirty Years in Malaysia’

KUALA LUMPUR, 10 April— Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail hari ini berkenan merasmikan pelancaran buku memoir peribadi bertajuk “My Thirty Years in Malaysia” hasil nukilan Dato’ Keith Li (Li Zhongping), seorang usahawan dari China yang telah bermastautin di Malaysia.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menulis prakata buku dwi-bahasa tersebut pada majlis yanng berlangsung di Menara Kuala Lumpur di sini.

Majls turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Kaunselor Menteri dan Konsul Jeneral Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia, Wang Jiarong; serta Tan Sri Lim Keng Cheng dari Kumpulan Lim Seong Hai.

Turut hadir ialah Datuk Abdul Majid Ahmad Khan, Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China, bersama ramai tokoh terkemuka daripada komuniti perniagaan, pengamal media, dan ahli-ahli Persatuan Usahawan China di Malaysia (PUCM).

Dato’ Keith Li merupakan pengasas dan Presiden PUCM merangkap pengasas platform berita tiga bahasa, Malaysia-China Insight. Agensi berita tersebut merupakan satu-satunya organisasi media Malaysia yang diperakui untuk membuat liputan mengenai persidangan “Two Sessions” di Beijing pada awal tahun ini. 

Majlis hari ini turut meraikan sambutan ulang tahun ke-10 penubuhan PUCM, yang diperkukuhkan lagi dengan perutusan tahniah daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memuji peranan persatuan itu dalam memperkukuh perdagangan dua hala serta hubungan sesama rakyat.

Memoir “My Thirty Years in Malaysia” mengisahkan perjalanan tiga dekad Li, bermula sebagai pendatang baharu sehingga menjadi tokoh penting dalam landskap perniagaan tempatan. Buku ini menawarkan wawasan strategik buat usahawan dari China, dengan menekankan sinergi antara kebijaksanaan perniagaan tradisional China dan integrasi ke dalam masyarakat arus perdana Malaysia yang berbilang kaum.

Semasa majlis pelancaran, Li memberikan dedikasi penuh emosi kepada mendiang ibunya yang meninggal dunia lima bulan lalu, menyifatkan memoir itu sebagai “laporan hidup yang terlewat” buat memperingati bondanya. Beliau turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Raja Muda Perlis atas bimbingan dan sokongan selama lebih 20 tahun, serta ucapan terima kasih kepada Kedutaan China dan rakan-rakan profesionalnya.

Sebagai tanda komitmen terhadap tanggungjawab sosial korporat, majlis tersebut turut mengadakan jualan amal yang berjaya mengumpul dana sebanyak RM30,000 untuk Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP).