KUALA LUMPUR, 15 April — Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengesahkan bekalan bahan api di seluruh rangkaian stesennya di serata negara adalah terjamin sehingga akhir Jun 2026, lanjutan daripada unjuran sehingga akhir Mei yang dibuat sebelum ini.
Dalam kenyataannya hari ini, Petronas memaklumkan terus aktif menguruskan rantaian bekalan bagi memastikan bekalan mencukupi di seluruh rangkaian stesen minyaknya susulan krisis tenaga global akibat konflik di Asia Barat.
“Petronas membekalkan kira-kira 50 peratus daripada keperluan bahan api negara menerusi syarikat senarai awam miliknya, Petronas Dagangan Bhd.
“Jumlah selebihnya dibekalkan oleh syarikat minyak lain yang beroperasi di Malaysia,” katanya.
Pada masa sama, syarikat minyak dan gas negara itu turut mengulangi komitmen dalam memastikan bekalan bahan api yang stabil serta boleh diharapkan untuk semua rakyat negara ini.
“Orang ramai digalakkan untuk membuat pembelian bahan api ini secara bertanggungjawab dan mengikut keperluan harian masing-masing serta mengelak daripada sebarang tindakan pembelian panik,” menurutnya.
Penggunaan secara bertanggungjawab itu akan turut memastikan semua mendapat akses bekalan berkenaan secara berterusan.
Pada 1 April lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Petronas sedang membantu kerajaan dalam pembekalan minyak dan gas yang mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei 2026.

















Tinggalkan Balasan