Usahawan Kelantan Catat Peningkatan Jualan Lebih RM6 Juta Menerusi Program AUM Agrobank

KOTA BHARU, 18 April — Program Agrobank Upward Migration (AUM) terus memperkasakan usahawan tempatan apabila peserta dari Kelantan mencatat peningkatan jumlah jualan melebihi RM6 juta, sekali gus mencerminkan pertumbuhan perniagaan yang memberangsangkan hasil bimbingan dan sokongan berterusan Agrobank.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata program itu melibatkan sebanyak 55 usahawan yang dibimbing, terdiri daripada 30 peserta yang telah menamatkan program manakala 25 lagi masih mengikuti latihan.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 21 syarikat berjaya mencatat peningkatan hasil berbanding tahun sebelumnya dengan jumlah jualan terkumpul mencecah RM36.57 juta bagi peserta yang menamatkan program pada 2025.

“Peningkatan itu merekodkan pertambahan sebanyak RM6.51 juta atau 22 peratus, sekali gus mencerminkan pertumbuhan memberangsangkan hasil bimbingan berstruktur serta sokongan berterusan yang disediakan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Kecemerlangan Agrobank di sini hari ini.

Majlis berkenaan turut meraikan lima syarikat yang menerima pengiktirafan bagi kategori Peningkatan Jualan, Pengembangan Perniagaan, Penciptaan Pekerjaan, Penambahan Kapasiti (Teknologi) dan Penambahan Kapasiti (Pembiayaan).

Tengku Ahmad Badli Shah berkata selain itu, tujuh syarikat berjaya memperoleh pembiayaan tambahan berjumlah RM1.425 juta bagi memperkukuh kedudukan kewangan serta meningkatkan kapasiti operasi perniagaan masing-masing.

“Antara kisah kejayaan ialah seorang bekas anggota tentera yang mengusahakan penternakan kambing melalui MDYM Agro Farm sejak 2017 sebelum mengembangkan operasi secara serius pada 2020.

“Usahawan itu kini memiliki empat kandang yang mampu menampung antara 200 hingga 300 ekor kambing dalam satu-satu masa, melibatkan baka premium seperti Boer, Kalahari, Jamnapari dan Savannah,” katanya.

Beliau berkata selain penternakan, usahawan itu turut mengembangkan perniagaan ke sektor makanan dan minuman (F&B) melalui perkhidmatan katering berasaskan kambing serta merancang membuka pusat sembelihan halal dengan kerjasama Agrobank.

Katanya kejayaan usahawan itu turut diiktiraf apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Agropreneur Award (AAA) pada 2023, sekali gus menjadi inspirasi kepada usahawan lain di bawah program berkenaan.

“Program AUM memainkan peranan penting dalam membantu usahawan tempatan meningkatkan kapasiti pengeluaran serta menghasilkan inovasi baharu,” katanya.