Isyarat Bercampur AS-Iran Di Hormuz Gambarkan Ketidaktentuan Konflik Asia Barat – TPM Singapura

SINGAPURA, 21 April – Ketidaktentuan yang berterusan serta mesej bercampur-campur daripada Amerika Syarikat dan Iran berhubung status laluan Selat Hormuz menggambarkan konflik di Asia Barat yang masih tidak menentu, kata Timbalan Perdana Menteri Singapura Gan Kim Yong.

Beliau berkata bahawa gangguan di laluan air yang sempit itu telah memberi kesan segera kepada ekonomi global melalui kenaikan harga tenaga, kos pengangkutan dan rantaian bekalan.

“Ini bukan sekadar gangguan serantau, ia adalah kejutan sistemik. Ia menjadi peringatan bahawa ketidakstabilan di satu titik tumpuan maritim  boleh merebak dengan pantas ke seluruh ekonomi global dalam masa beberapa hari, manakala kesan rantaiannya mampu berlarutan selama berbulan-bulan atau lebih lama lagi.

“Kejadian di Selat Hormuz adalah peringatan jelas tentang betapa ekonomi global bergantung kepada beberapa titik tumpuan kritikal, serta peranan rangka kerja dan norma antarabangsa dalam mengekalkan sistem maritim berasaskan peraturan,” katanya semasa sesi syarahan pada pembukaan Minggu Maritim Singapura (SMW) 2026, pada Selasa.

Turut hadir pada majlis perasmian itu ialah Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke.

Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan menyatakan bahawa ekosistem maritim Singapura dibina atas asas keyakinan, di mana pelabuhan beroperasi secara boleh dipercayai, peraturan digunakan secara konsisten dan kontrak dihormati.

Beliau berkata republik itu komited untuk mendukung prinsip Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS), iaitu rangka kerja undang-undang yang menjadi asas kepada hak dan kebebasan pelayaran termasuk hak laluan transit bagi perdagangan maritim.

“Singapura juga menyokong kuat deklarasi yang diterima pakai oleh Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa bulan lepas, yang menekankan bahawa hak pelayaran dan kebebasan kapal komersial mesti dihormati, selain menggesa perlindungan, keselamatan serta kebajikan pelaut,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow dalam ucapan pembukaannya mengumumkan bahawa Singapura melabur lebih S$100 juta (S$1=RM3.10) di bawah pelan hala tuju Penyelidikan Maritim dan Teknologi yang baharu dilancarkan.

Beliau berkata dana itu diperuntukkan bagi inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D) industri maritim bagi tempoh lima tahun akan datang, merangkumi bidang seperti operasi pelabuhan autonomi, bahan api alternatif dan kapal pintar.