Chery, Touch ’n Go Perkenal Penyelesaian RFID Untuk Pemilik Kenderaan Baharu

KUALA LUMPUR, 23 April — Chery Corporate Malaysia dan Kumpulan Touch ’n Go menjalin kerjasama strategik bagi meningkatkan ekosistem mobiliti digital Malaysia menerusi pengenalan penyelesaian pasang siap RFID pada peringkat pemilikan kenderaan.

Kedua-dua syarikat itu dalam kenyataan bersama memaklumkan tag RFID berjenama akan ditawarkan sebagai item pakej bersama model baharu terpilih daripada Chery, Omoda Jaecoo dan iCAUR yang dijual di seluruh negara, sekali gus membolehkan pelanggan menikmati pembayaran tol yang lancar sejak hari pertama.

Mereka memaklumkan inisiatif itu menunjukkan pendekatan berpandangan jauh terhadap kesiapsiagaan kenderaan, dengan meletakkan RFID sebagai pemudah cara penting dalam landskap mobiliti Malaysia yang kian berkembang.

“RFID direka bentuk untuk saling kendali dan serasi dengan sistem tol masa hadapan seperti Aliran Pantas Satu Lorong (SLFF) dan Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF), sekali gus menawarkan penyelesaian inovatif dan berskala yang menyokong perkembangan masa depan dalam tol dan penggunaan jalan raya,” menurut kenyataan itu.

Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia Men Lin Bo berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen syarikat dalam menyampaikan pengalaman pemilikan yang lebih pintar melangkaui reka bentuk kenderaan.

“Dengan mengintegrasikan tag RFID pada peringkat jualan, kami memperkasa pelanggan dengan akses segera dan tanpa kerumitan kepada infrastruktur tol Malaysia yang semakin berkembang, di samping menyokong visi mobiliti digital kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Touch ’n Go Praba Sangarajoo berkata kerjasama itu adalah langkah positif ke arah menjadikan RFID lebih mudah diakses oleh pengguna jalan raya.

“Ia juga menonjolkan pengiktirafan industri automotif terhadap RFID bukan sekadar sebagai sistem pembayaran tetapi sebagai alat penting bagi masa depan mobiliti di Malaysia,” katanya.

Sejak 2023, Chery Corporate Malaysia telah menyerahkan 30,073 kenderaan di seluruh negara menerusi rangkaian hampir 60 pengedar dan pusat selepas jualan.

Omoda Jaecoo merekodkan 17,849 unit pada 2025 sahaja, mewakili pertumbuhan lebih 150 peratus tahun ke tahun.

Kedua-dua syarikat itu juga akan bekerjasama dalam kempen pemasaran bersama bagi meningkatkan kesedaran, pemahaman dan penggunaan RFID dalam kalangan orang ramai, selaras dengan usaha untuk menyediakan pengalaman pemanduan yang lebih terhubung dan cekap.