Selat Melaka Kekal Aman, Tiada Keperluan Kuasa Asing Ambil Alih Kawalan – Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 23 April — Kerajaan menegaskan tiada sebarang keperluan atau asas bagi mana-mana kuasa asing untuk campur tangan atau mengambil alih kawalan di Selat Melaka, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata laluan strategik itu kini berada dalam keadaan yang sangat aman dan bebas daripada sebarang halangan untuk laluan perkapalan antarabangsa.

“Tidak ada sebab untuk mana-mana negara, sama ada kuasa kecil mahupun besar untuk menyatakan hasrat mengawal (Selat Melaka) kerana negara yang ada di sini semua mampu untuk mengawal,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penutup Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026, di sini hari ini.

Beliau menjawab desas-desus mengenai hasrat campur tangan kuasa asing mengawal laluan perkapalan paling sibuk di dunia itu di tengah-tengah ketidaktentuan geopolitik global.

Mohamed Khaled turut menyatakan pendirian teguh Kementerian Pertahanan yang selari dengan kenyataan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung status dan pemeliharaan kedaulatan perairan berkenaan.

Beliau menjelaskan sebarang bentuk ketetapan, perancangan atau tindakan yang ingin dilaksanakan melibatkan Selat Melaka wajib mendapat persetujuan dan keputusan bersama secara kolektif daripada negara-negara yang berada di kawasan tersebut iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, dan Thailand.

Mohamad Hasan sebelum ini berkata tiada keputusan unilateral boleh dibuat berhubung Selat Melaka, sambil menekankan pendekatan berasaskan konsensus ASEAN dalam mengekalkan keselamatan maritim di laluan air yang penting tersebut.

Sementara itu mengulas mengenai penahanan seorang pegawai tentera kerana memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kemalangan maut, Mohamed Khaled berkata beliau menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis.

Dalam kejadian awal pagi tadi, kenderaan dipandu pegawai tentera berkenaan merempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) e-hailing jenis Perodua Alza mengakibatkan seorang maut di Kilometer 1.9 Lebuhraya MEX.