Saham Industri, Utiliti Pacu Bursa Malaysia Dibuka Meningkat

KUALA LUMPUR, 24 April — Bursa Malaysia memulakan dagangan Jumaat dengan lebih meningkat susulan minat belian terhadap saham-saham wajaran tinggi, didahului kaunter produk perindustrian dan utiliti walaupun Wall Street mencatat prestasi semalaman yang lebih suram.

Pada 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.64 mata kepada 1,723.34 daripada 1,721.70 pada akhir dagangan semalam.

Indeks petunjuk utama itu dibuka menokok 1.55 mata kepada 1,723.25.

Sentimen pasaran secara meluas adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 234 berbanding 179, sebanyak 338 kaunter tidak berubah, 1,997 tidak diniagakan dan 49 digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 247.93 juta unit bernilai RM144.60 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup lebih rendah selepas harga minyak mentah melonjak dengan minyak mentah Brent mencecah US$105 setong susulan perkembangan terkini di Asia Barat.

“Sentimen juga dijejaskan oleh prestasi perolehan pendapatan syarikat perisian yang kurang memberangsangkan,” katanya kepada Bernama.

Thong berkata sentimen pasaran tempatan kekal berwaspada dengan indeks utama dijangka berlegar dalam julat 1,710 hingga 1,730 hari ini.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank rugi empat sen kepada RM11.18; Public Bank turun dua sen kepada RM4.82; Tenaga Nasional naik lapan sen kepada RM14.68; CIMB Group meraih satu sen kepada RM7.79; IHH Healthcare susut satu sen kepada RM8.84, Petronas Chemicals menokok lapan sen kepada RM5.63 dan Press Metal Aluminium meningkat tiga sen kepada RM8.10.

Kaunter paling aktif didahului SMRT Holdings yang mendatar pada 16.5 sen; AirAsia X juga kekal pada RM1.23; VS Industry naik satu sen kepada 21.5 sen; Zetrix AI turun setengah sen kepada 86 sen dan Top Glove naik satu sen kepada 76 sen.

Bagi kaunter paling untung, Malaysian Pacific Industries melonjak 82 sen kepada RM37.16; Vitrox Corporation naik 17 sen kepada RM5.15; Kelington Group dan UMS Integration masing-masing untung lapan sen kepada RM6.06 dan RM6.29 manakala KESM Industries meraih lapan sen kepada RM3.37.

Sebaliknya, kaunter paling rugi termasuk United Plantations yang susut 44 sen kepada RM32.14; Chin Teck Plantations turun 28 sen kepada RM10.82; Allianz Malaysia merosot 18 sen kepada RM21.10; Hong Leong Bank berkurangan 16 sen kepada RM22.70 dan Can-One turun 12 sen kepada RM1.50.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas susut 4.91 mata kepada 12,701.25; Indeks FBMT 100 turun 7.67 mata kepada 12,539.26; Indeks FBM Emas Syariah naik 7.04 mata kepada 12,572.40; Indeks FBM 70 merosot 17.92 mata kepada 17,998.33 dan Indeks FBM ACE menambah 0.82 mata kepada 4,636.49.

Mengikut sektor pula, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 53.91 mata kepada 20,228.32; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.87 mata kepada 190.83; Indeks Tenaga naik 4.96 mata kepada 833.05 manakala Indeks Perladangan menguncup 26.09 mata kepada 8,854.49