Lubnan, Israel Lanjut Gencatan Senjata Tiga Minggu Selepas Rundingan Di Rumah Putih – Trump

WASHINGTON, 24 April — Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis mengumumkan bahawa gencatan senjata antara Israel dan Lubnan dilanjutkan selama tiga minggu selepas rundingan peringkat duta di Rumah Putih.

“Gencatan senjata antara Israel dan Lubnan akan dilanjutkan selama TIGA MINGGU,” kata Trump dalam satu kenyataan selepas menerima kunjungan duta kedua-dua pihak di Pejabat Oval bersama Naib Presiden JD Vance dan Setiausaha Negara Marco Rubio.

Anadolu Ajansi melaporkan Trump menyifatkan pertemuan itu sebagai “sangat berjaya” serta menegaskan bahawa Washington akan bekerjasama dengan Lubnan untuk membantu negara itu “melindungi dirinya” daripada Hizbullah.

“Saya menantikan dalam masa terdekat untuk menerima kunjungan Perdana Menteri Israel, Bibi Netanyahu dan Presiden Lubnan, Joseph Aoun,” katanya.

Trump kemudian memberitahu pemberita di Rumah Putih bahawa kedua-dua pemimpin itu “kemungkinan besar” akan melawat Rumah Putih dalam tempoh tiga minggu gencatan senjata berkenaan.

Pertemuan itu merupakan yang kedua antara Duta Lubnan Nada Hamadeh Moawad dan Duta Israel Yechiel Leiter dalam tempoh dua minggu di tengah-tengah gencatan senjata masih rapuh.

Kedua-dua pihak mengadakan rundingan pertama pada 14 April di Jabatan Negara.

Gencatan senjata selama 10 hari yang diusahakan AS dan berkuat kuasa pada 16 April, sebelum ini dijadual tamat pada Ahad.

Lebih 2,200 orang terbunuh manakala lebih sejuta lagi hilang tempat tinggal susulan serangan Israel yang diperluas ke atas Lubnan sejak 2 Mac, tidak lama selepas AS dan Israel melancarkan perang terhadap Iran.

Serangan itu dilaporkan berterusan walaupun gencatan senjata 16 April telah berkuat kuasa.