Setiausaha Negara AS Nafi Laporan Iran Mungkin Dihalang Sertai Piala Dunia

WASHINGTON, 24 April — Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio pada Khamis menafikan laporan bahawa Iran mungkin digantikan oleh Itali pada Piala Dunia FIFA 2026, dengan berkata AS tidak mengambil sebarang langkah untuk menghalang atlet Iran memasuki negara itu, lapor Anadolu Ajansi.

“Tiada apa-apa daripada pihak AS yang memaklumkan kepada mereka bahawa mereka tidak boleh datang,” kata Rubio kepada pemberita di Rumah Putih selepas mesyuarat peringkat duta antara Israel dan Lubnan.

“Masalah dengan Iran bukanlah atlet mereka, tetapi beberapa individu lain yang mereka mahu bawa bersama,” kata Rubio sambil menambah bahawa “kami mungkin tidak dapat membenarkan mereka masuk,” merujuk kepada individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).

Rubio turut menafikan laporan yang mencadangkan Itali mungkin menggantikan Iran dalam kejohanan itu.

Presiden Donald Trump pada sidang media sama turut berkata AS “tidak mahu menjejaskan atlet.”

Kenyataan itu menyusul laporan Financial Times pada Rabu bahawa utusan khas AS Paolo Zampolli mencadangkan kepada Trump dan Presiden FIFA Gianni Infantino supaya Itali mengambil tempat Iran dalam kejohanan yang akan dianjurkan bersama oleh AS, Kanada dan Mexico dari 11 Jun hingga 19 Julai.

Iran berkata pihaknya bersedia untuk menyertai kejohanan itu, manakala FIFA memaklumkan bahawa pasukan Iran dijangka bertanding.

Itali menolak cadangan itu dan menegaskan bahawa kelayakan ke Piala Dunia mesti diperoleh berdasarkan merit.