SAN FRANCISCO, 24 April — Meta Platforms merancang mengurangkan kira-kira 10 peratus tenaga kerjanya, menurut laporan media pada Khamis yang memetik memo dalaman, ketika gergasi media sosial itu terus memberi tumpuan kepada kecekapan operasi sambil meningkatkan pelaburan dalam infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan bakat, lapor Xinhua.
Meta mempunyai 78,865 pekerja di seluruh dunia setakat 31 Dis 2025, menurut laporan tahunannya, bermakna langkah terbaharu itu dijangka menjejaskan kira-kira 8,000 pekerjaan.
Dalam laporan tahunan terbaharunya, Meta berkata syarikat itu kekal memberi tumpuan kepada usaha “beroperasi secara cekap” sambil melabur dalam AI dan infrastruktur.
Syarikat itu berkata perbelanjaan modal pada 2026 dijangka berada antara US$115 bilion hingga US$135 bilion, dengan peningkatan tahun ke tahun didorong oleh pelaburan bagi menyokong usaha Meta Superintelligence Labs dan perniagaan terasnya.
Menurut laporan media yang memetik memo dalaman, Ketua Pegawai Sumber Manusia Microsoft Amy Coleman memperkenalkan program persaraan sukarela sekali sahaja untuk sebahagian kecil pekerja lama syarikat itu di Amerika Syarikat (AS), langkah yang menurut laporan boleh melibatkan ribuan pekerja di AS.
Setakat 30 Jun 2025, Microsoft menggaji kira-kira 228,000 pekerja sepenuh masa termasuk 125,000 di AS, menurut laporan tahunannya.
Syarikat itu turut berbelanja secara agresif bagi infrastruktur AI.
Microsoft berkata perbelanjaan modal mencecah US$37.5 bilion pada suku kedua tahun fiskal 2026, dengan kira-kira dua pertiga daripada perbelanjaan itu disalurkan kepada aset jangka pendek, terutamanya unit pemprosesan grafik (GPU) dan unit pemprosesan pusat (CPU).

















Tinggalkan Balasan