ISTANBUL, 24 April — Tentera Israel melancarkan serangan udara dan tembakan artileri di beberapa kawasan di selatan Lubnan awal Jumaat meskipun lanjutan gencatan senjata diumumkan baru-baru ini, lapor Anadolu Ajansi memetik Agensi Berita Nasional Lubnan.
Pesawat perang Israel menyerang sebuah rumah di bandar Touline di daerah Marjayoun pada waktu subuh, diikuti bedilan artileri di kawasan itu.
Agensi itu berkata serangan udara turut menyasarkan bandar Kherbet Selm.
Di daerah Tyre, pesawat Israel melancarkan serangan di pinggir Majdal Zoun, manakala serangan pada waktu malam turut melanda kawasan tinggi Rihan di Jezzine.
Serangan itu berlaku beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan bahawa gencatan senjata antara Israel dan Lubnan dilanjutkan selama tiga minggu selepas rundingan peringkat duta di Rumah Putih.
Gencatan senjata selama 10 hari yang diusahakan AS dan berkuat kuasa pada 16 April sebelum ini dijadual tamat pada Ahad.
Sejak 2 Mac, serangan Israel yang diperluas ke atas Lubnan telah mengorbankan lebih 2,200 orang dan menyebabkan lebih sejuta lagi hilang tempat tinggal, menurut pihak berkuasa Lubnan.













Tinggalkan Balasan