Thailand, China Perkukuh Hubungan Strategik, Tingkat Usaha Banteras Penipuan Rentas Negara

BANGKOK, 24 April — Thailand dan China bersetuju memperdalam kerjasama strategik dengan memajukan pelan tindakan bersama serta meningkatkan usaha membanteras rangkaian penipuan rentas negara susulan perbincangan antara Perdana Menteri Anutin Charnvirakul dan Menteri Luar China Wang Yi.

Persetujuan itu dicapai semasa kunjungan hormat Wang ke atas Anutin di Rumah Kerajaan pada Jumaat, menurut Jurucakap Kerajaan Ratchada Thanadirek.

Beliau berkata pertemuan itu menekankan hubungan kukuh dan bersejarah antara kedua-dua negara, dengan kedua-dua pihak bersetuju meningkatkan hubungan ke tahap perkongsian strategik yang lebih mendalam.

Antara hasil utama perbincangan ialah persetujuan untuk membangunkan “Pelan Tindakan” bersama yang selaras dengan strategi pembangunan kedua-dua negara, bagi memastikan kerjasama konkrit dalam pelbagai sektor, katanya.

“Perbincangan ini mencerminkan tahap kepercayaan yang tinggi antara Thailand dan China, dengan kedua-dua pihak komited memperkukuh kerjasama secara konkrit dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dari segi keselamatan, Ratchada berkata Thailand dan China bersetuju meningkatkan kerjasama dalam menangani jenayah rentas negara, khususnya sindiket penipuan yang menjejaskan ramai orang, dengan isu itu diberi keutamaan di bawah kerangka bersama berkenaan.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju mempertingkat kerjasama melalui mekanisme sedia ada serta meningkatkan aktiviti bersama di pelbagai peringkat bagi memastikan pelaksanaan inisiatif yang dipersetujui lebih berkesan,” tambahnya.

Beliau berkata pertemuan itu mencerminkan usaha berterusan kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan dua hala dan memperluas kerjasama dalam bidang utama termasuk pembangunan ekonomi dan keselamatan serantau.

Sementara itu, Ratchada berkata Wang menjemput Anutin menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang akan dianjurkan China pada November, selain mengundang beliau mengadakan lawatan rasmi ke negara itu.

Thailand turut menjemput Perdana Menteri China Li Qiang melawat negara itu, dengan Beijing memberikan maklum balas positif secara prinsip sementara pengaturan lanjut sedang dimuktamadkan, katanya.

China merupakan rakan dagang terbesar Thailand dan kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik pada 2025.