CARACAS, 24 April — Hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) mesti berasaskan saling menghormati, tegas Pemangku Presiden Venezuela Delcy Rodriguez pada Khamis, lapor Xinhua.
“Hari ini, wakil diplomatik baharu Amerika Syarikat tiba di Venezuela dan kami berharap dapat meneruskan agenda kerja kami, iaitu agenda yang mesti berasaskan saling menghormati,” kata Rodriguez ketika mengetuai perhimpunan besar-besaran di negeri Lara di barat negara itu sempena “Great National Pilgrimage for a Venezuela Without Sanctions and in Peace”.
Utusan baharu AS John Barrett tiba di Caracas pada Khamis bagi meneruskan pelan Washington berkaitan peralihan Venezuela selepas Presiden Nicolas Maduro ditahan dalam operasi ketenteraan AS.
Rodriguez turut menggesa penamatan sekatan yang semakin ketat dikenakan AS terhadap Venezuela sejak beberapa tahun lalu dan berkata semua sekatan itu perlu ditarik balik.
Walaupun berdepan sekatan, kerajaan Venezuela bersama rakyatnya berjaya meningkatkan pengeluaran dan memperkukuh keupayaan negara, katanya.
Dalam semangat yang sama, beliau berkata pelbagai sektor politik dan sosial negara itu perlu bermuhasabah serta bekerjasama bagi mengelakkan berulangnya campur tangan ketenteraan AS pada 3 Jan yang membawa kepada penahanan paksa Maduro.
“Semoga peluru berpandu dan bom tidak lagi jatuh di wilayah kami,” katanya.













Tinggalkan Balasan