PUTRAJAYA, 24 April — Penggunaan tangki tiruan dengan dua lubang pengisian dan penyalahgunaan kemudahan fleet card atau kad flit dikenal pasti sebagai antara modus operandi yang digunakan sindiket dalam kegiatan penyelewengan bahan api diesel bersubsidi.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam berkata sindiket menggunakan pelbagai kaedah kreatif termasuk memasang tangki tambahan tersembunyi di bawah tempat duduk, dalam bonet dan bahagian bawah kenderaan tanpa kelulusan pihak berkuasa.
Beliau berkata terdapat juga kes melibatkan kenderaan kecil yang diubah suai menggunakan tangki bersaiz lebih besar daripada kapasiti sebenar bagi membolehkan pengisian bahan api dalam jumlah lebih banyak.
“Ada kaedah yang mereka buat dua lubang pengisian. Sekali pandang nampak seperti mengisi petrol biasa, tetapi sebenarnya bahan api itu masuk ke dalam tangki tambahan,” katanya pada sidang media bersempena dengan pencapaian penguatkuasaan Ops Tiris 2025 hingga Mac 2026, di sini hari ini.
Azman berkata kesalahan melibatkan diesel kekal paling tinggi setakat ini, dengan 166 kes direkodkan dalam tempoh sebulan pelaksanaan Ops Tiris 4.0 yang bermula 16 Mac lepas, diikuti petrol dan gas petroleum cecair (LPG).
Beliau berkata antara taktik yang digunakan termasuk penggunaan kenderaan bertutup yang menyembunyikan tangki simpanan serta pembelian bahan api secara berulang sebelum dikumpulkan dan dijual kepada pihak industri atau penyeludup.
Azman berkata penyalahgunaan kad itu menjadi trend baharu dengan pihak tertentu menggunakan kemudahan subsidi itu untuk mengumpul bahan api, dan menjualnya semula kepada industri yang memerlukan bekalan pada harga lebih tinggi.
Beliau berkata jurang harga ketara antara harga subsidi melalui fleet cardkira-kira RM2.15 seliter dan harga pasaran industri yang boleh mencecah RM7 hingga RM8 seliter menjadi pendorong utama kepada kegiatan penyelewengan.
Siasatan mendapati penglibatan dalam kegiatan itu boleh melibatkan pelbagai pihak sama ada pemandu, syarikat atau kedua-duanya, bergantung kepada hasil siasatan kes.
Dalam satu kes di Johor semalam, beliau berkata pihaknya merampas lapan keping fleet card yang digunakan untuk mengumpul bahan api sebelum dijual semula kepada pihak industri.
“Kita (kerajaan) bagi kemudahan fleet card bagi mengekalkan kos operasi sektor pengangkutan, tetapi ada pihak yang menyalahgunakannya untuk mendapatkan keuntungan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata KPDN telah mengaktifkan bilik gerakan (war room) yang beroperasi tujuh hari seminggu bagi menyelaras tindakan penguatkuasaan di kawasan sempadan melibatkan enam komoditi utama, iaitu diesel, petrol, LPG, tepung, gula dan minyak masak.
Beliau berkata setakat ini pihaknya menerima 46 aduan awam berkaitan enam komoditi berkenaan, yang turut menjadi asas penting dalam tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan penyelewengan.
Dalam perkembangan lain, Azman berkata sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN ke-54 bertemakan “Komited Mendepani Cabaran” akan diadakan pada 28 April ini di Cyberjaya.
Beliau berkata sambutan itu bagi menghargai peranan Bahagian Penguat Kuasa KPDN dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan harian, termasuk membanteras ketirisan subsidi, penyelewengan barang kawalan serta melindungi kepentingan pengguna.
Dengan kekuatan kira-kira 2,400 pegawai penguat kuasa di seluruh negara, KPDN komited memperkukuh pemantauan dan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan bekalan mencukupi, harga stabil serta pengguna terus dilindungi.
















Tinggalkan Balasan