Polis Rakam Keterangan Tony Pua, Terima 77 Laporan Seluruh Negara

KUALA LUMPUR, 21 Mei — Polis hari ini merakam keterangan bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua, susulan hantaran di akaun Facebook miliknya yang didakwa menyentuh isu sensitif melibatkan institusi Raja Berperlembagaan dan Rukun Negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata keterangan Pua diambil bahagian JSJ Selangor dan ketika ini proses rakaman percakapan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor masih berjalan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kumar berkata setakat ini sebanyak 77 laporan polis diterima di seluruh negara terhadap Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP itu.

Pada Selasa lepas, Pua dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, iaitu kuasa raja secara amnya terhad kepada aspek tertentu sahaja.

Kenyataan itu dipercayai dikeluarkan susulan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor Ronnie Liu datang seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk memahami serta menghayati makna Rukun Negara.