MELAKA, 24 April — Malaysia sedang beralih daripada pendekatan smart cities kepada wise cities dalam pembangunan bandar, sebagai usaha untuk menyeimbangkan pertumbuhan, kelestarian dan keterangkuman dalam menangani cabaran bandar yang semakin kompleks.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Fadillah berkata pendekatan wise cities melangkaui penggunaan teknologi semata-mata, yang menekankan kewajaran pertimbangan dalam mengurus pembangunan sambil memelihara kesejahteraan alam sekitar dan sosial jangka panjang.
“Pendekatan bandar itu menggunakan pertimbangan yang wajar, menyeimbangkan pertumbuhan dengan kelestarian, kecekapan dengan keterangkuman, serta inovasi dengan bertanggungjawab,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian bersempena dengan 30th Eastern Organisation for Planning and Human Settlements (EAROPH) World Congress 2026, di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata Malaysia yang menyaksikan hampir 80 peratus penduduknya menetap di kawasan bandar, berdepan cabaran yang semakin meningkat untuk mengurus perkembangannya secara lestari sambil memastikan hasil pembangunan yang saksama.
“Oleh itu, pembangunan bandar tidak boleh dilihat semata-mata dari sudut pertumbuhan fizikal atau output ekonomi. Ia mesti difahami sebagai komitmen berterusan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat, sambil melindungi sumber dan sistem yang menjadi sandaran generasi akan datang,” katanya.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata bandar memainkan peranan penting dalam komitmen negara untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, memandangkan sistem bandar adalah antara pengguna tenaga terbesar.
“Ini memerlukan usaha bersepadu untuk mengintegrasikan tenaga boleh baharu, meningkatkan kecekapan dan mengamalkan amalan lestari pada semua peringkat,” katanya.
Beliau berkata Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 ialah langkah penting ke hadapan, namun pelaksanaan yang berkesan pada peringkat tempatan kekal kritikal.
“Kejayaan bandar kita bergantung kepada sejauh mana kemampuan mentadbir, mengurus dan mengoptimumkan aset, serta sejauh mana berkesannya kita menterjemahkan pelan kepada hasil yang bermakna untuk rakyat,” katanya.
Fadillah turut menekankan mengenai keperluan penyelarasan yang lebih kukuh pada semua peringkat kerajaan, selain perkongsian yang bermakna dengan sektor swasta dan komuniti.
Sementara itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Datuk Wira Dr M Noor Azman Taib atas pelantikan sebagai Presiden EAROPH International bagi penggal 2026 hingga 2028, sambil menyifatkannya sebagai detik membanggakan bagi Malaysia.
“Saya yakin di bawah kepimpinan beliau, EAROPH akan terus memperkukuh peranannya sebagai platform pertukaran ilmu, kerjasama serantau dan pemajuan petempatan manusia yang lestari serta inklusif di rantau Asia Pasifik,” katanya.
Beliau berkata Malaysia kekal komited untuk memperkukuh kerjasama serantau, khususnya dalam ASEAN, dengan mengambil kira cabaran seperti perubahan iklim dan pembandaran pesat, yang memerlukan penyelesaian secara kolaboratif.
Fadillah berkata tema kongres, “City Assets for Community Gains”, menekankan kepentingan pengurusan aset bandar sebagai sistem yang saling hubung, serta menyumbang kepada kesejahteraan sosial, daya tahan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
Kongres tiga hari itu menghimpunkan pemimpin bandar, pembuat dasar, ahli akademik dan pengamal dari seluruh rantau Asia Pasifik untuk bertukar-tukar idea, serta amalan terbaik mengenai pembangunan bandar yang lestari dan inklusif.
















Tinggalkan Balasan