Rangkaian Sushi Jepun Cipta Rekod Guinness Bagi Tuna Termahal Dalam Lelongan

TOKYO, 25 April — Sebuah pengendali rangkaian sushi Jepun meraih gelaran Rekod Dunia Guinness bagi tuna paling mahal dalam lelongan selepas membayar 510.3 juta yen (US$3.2 juta) pada lelongan pertama tahun ini, lapor Kyodo News Agency.

Tuna sirip biru seberat 243 kilogram itu ditangkap di perairan Oma di wilayah Aomori, timur laut Jepun. 

Kiyomura Corp., yang mengendalikan rangkaian sushi Sushizanmai, membelinya di pasar ikan Toyosu, Tokyo pada 5 Jan.

Tuna itu dipotong di cawangan utama Sushizanmai di Tsukiji dan dihidangkan di restoran-restorannya di seluruh Jepun.

“Kami akan terus menawarkan tuna berkualiti tinggi pada tahun depan dan tahun-tahun seterusnya,” kata Presiden Kiyomura Kiyoshi Kimura ketika menerima sijil Guinness dalam satu majlis di cawangan utama rangkaian itu pada 20 April.

Ia merupakan gelaran Rekod Dunia Guinness kedua bagi pengendali itu, yang sebelum ini diiktiraf bagi tuna sirip biru yang dibelinya pada harga 155.4 juta yen dalam lelongan pertama tahun 2013.

Menurut Kerajaan Metropolitan Tokyo, bidaan tahun ini adalah yang tertinggi sejak data perbandingan mula tersedia pada 1999.

Bidaan tertinggi dalam lelongan tahunan itu, yang hanya berjumlah 36 juta yen pada 2023, meningkat kepada 114 juta yen pada 2024 sebelum melonjak kepada 270 juta yen pada 2025.

Berbelanja besar pada lelongan pertama tahun ini sudah menjadi tradisi dalam kalangan pembida, kerana ia dilihat membawa tuah selain memberi peluang kepada restoran meraih manfaat daripada publisiti.

Menyaksikan lelongan tuna pada awal pagi dari dek pemerhatian pasar itu menjadi tarikan utama pelancong. 

Pengunjung dapat merasai suasana ketika tuna segar dihidangkan, dan pembida serta penjual berinteraksi.