KUALA LUMPUR, 6 Mei — Malaysia memiliki tiga kelebihan utama yang mampu memastikan negara terus berdaya tahan serta berdaya saing, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong.
Beliau berkata kelebihan itu merangkumi kestabilan politik dan iklim yang kondusif, kedudukan geografi yang strategik serta kekuatan faktor insan dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini.
“Dalam dunia yang dilanda pelbagai krisis, banyak perkara berada di luar kawalan kita namun Malaysia mempunyai tiga ingredient utama yang membolehkan kita terus berjaya,” katanya ketika berucap pada Anugerah Bisnes Sinar Harian (BISA 2026) di sini anjuran Sinar Harian.
Yang turut hadir ialah Pengerusi Karangkraf Firdaus Hussamuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Sinar Karangkraf Farah Hussamuddin.
Sim juga berkata kestabilan politik dan kepimpinan negara yang mantap menjadi asas kepada keyakinan pelabur serta pertumbuhan ekonomi selain kedudukan Malaysia dari sudut geopolitik dan geoekonomi yang strategik turut memberi kelebihan dalam memperkukuh hubungan perdagangan serta pelaburan antarabangsa.
“Faktor ketiga ialah rakyat kita yang majmuk, menguasai pelbagai bahasa serta memahami pelbagai budaya dunia,” katanya.
Beliau turut menyifatkan penganjuran anugerah oleh akhbar berbahasa Melayu, iaitu Sinar Harian sebagai satu langkah signifikan dalam mengiktiraf keupayaan usahawan tempatan.
“Ada banyak anugerah perniagaan dianjurkan oleh akhbar berbahasa Cina yang menyaksikan ramai usahawan Melayu berjaya… hari ini, saya amat bangga kerana akhbar berbahasa Melayu turut mengambil inisiatif mengiktiraf kemampuan usahawan tempatan khususnya usahawan Melayu dalam sektor masing-masing,” katanya.
Pada majlis itu, sebanyak 37 anugerah disampaikan antaranya Anugerah Peneraju Logistik & Maritim Global, Anugerah Peneraju Pembangunan Usahawan serta Anugerah Pilihan Juri, dan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd merangkul Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat BISA 2026.
Dalam pada itu, Firdaus berkata BISA 2026 ialah satu penghormatan kepada usahawan tempatan yang mempunyai semangat dan ketahanan tinggi dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.
“Sinar Harian berdiri dua dekad sebagai suara yang konsisten membawa isu, denyut nadi dan aspirasi rakyat termasuk para usahawan di seluruh negara,” katanya.

















Tinggalkan Balasan