Yayasan Sabah Lakar Sejarah, Catat Untung Sebelum Cukai RM683 Juta Bagi 2025

KOTA KINABALU, 6 Mei — Kumpulan Yayasan Sabah melakar pencapaian bersejarah bagi 2025 apabila merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM683 juta, meningkat 17 peratus daripada RM586 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata di peringkat syarikat pula, Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB) — cabang pelaburan Kumpulan Yayasan Sabah — mencatatkan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM243 juta, melonjak 35 peratus daripada RM179 juta pada 2024 sekali gus menjadi keuntungan paling tinggi dalam sejarah syarikat itu.

“Pencapaian ini membuktikan keupayaan pengurusan serta komitmen seluruh pasukan telah menghasilkan prestasi yang sangat cemerlang. Syabas saya ucapkan,” katanya pada Malam Anugerah Yayasan Sabah di Pusat Konvensyen Kota Kinabalu (SICC) di sini malam ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata pada 2025, ICSB mengisytiharkan dividen berjumlah RM160 juta, meningkat tujuh peratus daripada RM150 juta pada 2024.

“Pencapaian ini merupakan rekod pembayaran dividen tertinggi dalam sejarah ICSB. Pada masa sama, ICSB kekal sebagai GLC (syarikat berkaitan kerajaan) Sabah yang membayar dividen tertinggi di negeri ini bagi lima tahun berturut-turut.

“Kita optimis prestasi ini akan terus melonjak pada 2026, selaras dengan prestasi kewangan yang kukuh dan prospek perniagaan yang positif,” katanya.

Beliau berkata pencapaian cemerlang itu digerakkan oleh kekuatan pelbagai sektor dalam Kumpulan Yayasan Sabah termasuk sektor agro-perladangan yang terus menjadi penyumbang terbesar dengan keuntungan gabungan RM323 juta, seterusnya kekal sebagai tonggak utama pendapatan kumpulan.

“Sektor pelancongan dan riadah pula mencatatkan keuntungan sebanyak RM65 juta, mencerminkan perkembangan positif industri pelancongan Sabah.

“Lebih membanggakan, sektor minyak, gas dan tenaga menunjukkan lonjakan yang amat ketara dengan keuntungan RM40 juta, berbanding hanya RM0.07 juta pada 2024,” katanya.

Ketua Menteri berkata peranan Kumpulan Yayasan Sabah dalam meningkatkan ekonomi negeri dan memberi sumbangan kepada masyarakat adalah amat penting.