Malaysia, India Perkukuh Kerjasama Strategik REE Dan Pemulihan Biodiversiti

PUTRAJAYA, 7 Mei– Malaysia dan India komited memperkukuh kerjasama dua hala dalam bidang pemuliharaan biodiversiti, unsur nadir bumi (REE) dan teknologi hijau menerusi pelbagai inisiatif strategik.

Itu antara perkara yang dibincangkan dalam kunjungan hormat delegasi negara itu ke Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

Kunjungan delegasi India yang diketuai Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B.N. Reddy itu dihoskan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh.

NRES dalam kenyataan hari ini memaklumkan, antara agenda utama perbincangan ialah penglibatan aktif Malaysia sebagai ahli pengasas International Big Cat Alliance (IBCA).

Menurut kementerian berkenaan, komitmen antarabangsa itu selari dengan kejayaan domestik Malaysia mencapai kadar penyelesaian 100 peratus bagi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 100 Hari Menteri dalam aspek penguatkuasaan biodiversiti.

“Melalui Operasi Bersepadu Khazanah (OBK), Malaysia telah membuktikan ketegasan dalam melindungi hidupan liar dengan nilai sitaan mencecah RM413.1 juta sejak 2019.

“Malaysia dijadualkan menyertai Sidang Kemuncak IBCA yang pertama di New Delhi pada 1 Jun 2026 bagi memuktamadkan Delhi Declaration mengenai pemuliharaan spesis kucing besar, termasuk Harimau Malaya,” menurut kenyataan itu.

Dalam sektor sumber asli, NRES memaklumkan Malaysia turut menzahirkan minat meneroka kolaborasi strategik dalam industri REE bersama Indian Rare Earths Limited (IREL)⁠.

Menurut NRES, Malaysia berhasrat mempelajari model operasi dan teknologi pemprosesan industri tengahan (midstream) India bagi memastikan pembangunan REE negara mampu menghasilkan nilai tambah tinggi secara mampan.

“Kerjasama ini dijangka merangkumi aspek pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti tenaga pakar tempatan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Malaysia turut mempelawa delegasi India memanfaatkan platform International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference Malaysia (IGEM) yang dijadual berlangsung dari 7 hingga 9 Okt ini.

“Sebagai hub teknologi hijau terbesar di Asia Tenggara, IGEM ialah platform terbaik bagi kedua-dua negara untuk memacu pelaburan dalam ekonomi kitaran dan penyelesaian rendah karbon,” menurut kenyataan itu.

Pertemuan itu turut menyentuh persediaan kolaborasi bersama National Biodiversity Authority berkaitan kerangka Akses dan Perkongsian Faedah (ABS) serta perkembangan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada Jun ini.

Malaysia dan India kekal komited untuk memastikan rantaian bekalan mineral yang berdaya tahan dan usaha pemuliharaan alam sekitar yang inklusif demi kemakmuran bersama di rantau ini.