Dua Lelaki Warga Indonesia Ditahan Disyaki Dalang Sindiket Cap Imigresen Palsu

KUALA LUMPUR, 6 Mei — Jabatan Imigresen menahan dua lelaki warga Indonesia disyaki dalang sindiket cap palsu dalam operasi di Taman Kepong Indah dan Taman Dagang, Ampang, di sini semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata semakan terhadap dua lelaki itu yang dikenali sebagai “Padi” dan “Amir”, kedua-duanya berusia 52 tahun mendapati mereka tidak memiliki pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.

“Suspek bernama ‘Amir’ pernah ditahan pada Jun tahun lepas atas kesalahan sama dan telah dihantar pulang ke negara asal serta disenaraihitamkan dalam sistem imigresen namun dipercayai masuk semula ke Malaysia menggunakan pintu masuk yang tidak diwartakan.

“Modus operandi sindiket adalah menyediakan ‘perkhidmatan imigresen’ dengan menawarkan endorsemen masuk dan keluar dipercayai palsu bagi warganegara Indonesia yang berada di Lembah Klang dan telah tinggal lebih masa di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, sindiket terbabit dipercayai beroperasi sejak setahun lepas menggunakan platform seperti WhatsApp, Telegram dan TikTok untuk mencari pelanggan dan mengenakan bayaran sebanyak RM100 hingga RM350 bagi setiap endorsemen dengan pembayaran dilakukan secara dalam talian.

Beliau berkata dalam operasi itu pihaknya menyita 20 unit cap keselamatan imigresen dipercayai palsu, 16 pasport Indonesia, empat Surat Perjalanan Laksana Paspor Indonesia, dua telefon bimbit, komputer riba, mesin pencetak dan mesin pengimbas serta dua kenderaan yang disyaki digunakan sindiket terbabit.

Dua lelaki itu, katanya dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam operasi berasingan pada 2 petang semalam, Zakaria berkata pihaknya percaya berjaya melumpuhkan sindiket penyeludupan migran warga Bangladesh dikenali sebagai “Geng Shafik” selepas menyerbu sebuah rumah di Petaling Jaya, Selangor yang disyaki digunakan sebagai tempat persembunyian dan transit imigran haram.

“Pemeriksaan dalam rumah di kawasan lot kedai itu berjaya menahan sembilan lelaki warga Bangladesh yang disyaki telah diseludup masuk ke negara ini dan berdasarkan maklumat awal, imigran ini telah masuk ke negara jiran kira-kira dua hari lepas sebelum diseludup masuk ke Malaysia. 

“Dua ahli sindiket warga Bangladesh yang berperanan sebagai fasilitator dan penjaga rumah transit turut ditahan,” katanya.

Beliau berkata sindiket terbabit dipercayai aktif sejak Februari lepas dengan menyediakan perkhidmatan membawa masuk warga asing ke dalam negara menggunakan laluan negara ketiga dan masuk secara haram melalui Kelantan dan akan dibawa terus ke Lembah Klang sebelum dihantar ke destinasi tertentu.

Zakaria berkata sindiket mengenakan kadar bayaran RM12,000 hingga RM15,000 bagi setiap imigran yang diseludup dan dianggarkan telah mengaut keuntungan sebanyak RM1.6 juta sejak beroperasi.

Kesemua imigran berumur lingkungan 20 hingga 49 tahun itu ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata sebanyak 32 operasi penguatkuasaan dilaksanakan pada 4 Mei lepas dengan 150 pendatang tanpa izin ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Menurut beliau, 13 majikan turut ditahan kerana disyaki menggajikan warga asing tanpa dokumen perjalanan atau pas yang sah dalam tempoh sama.