Kelaparan Di Gaza Masih Kritikal Meski Bantuan Disalurkan – PBB

WASHINGTON, 7 Mei — Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu memberi amaran bahawa krisis kelaparan di Semenanjung Gaza kekal meluas dan serius, dengan jutaan penduduk bergelut mendapatkan bekalan makanan mencukupi meskipun bantuan kemanusiaan terus disalurkan, lapor Anadolu Ajansi.

Jurucakap PBB Stephane Dujarric memetik data Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), menganggarkan kira-kira 2.1 juta penduduk Gaza kini terperangkap di kawasan yang meliputi kurang daripada separuh wilayah itu, sekali gus mengehadkan akses kepada tanah pertanian, bekalan makanan dan perkhidmatan asas.

“Penduduk tidak dapat mengakses beberapa kawasan di Gaza yang menempatkan rizab tanah dan kemudahan kritikal seperti tapak pelupusan sisa pepejal.

“Mereka juga tidak dapat ke luar negara atau memasuki Tebing Barat yang menyediakan perkhidmatan seperti rawatan kesihatan khusus,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata mereka yang dibenarkan keluar menerusi pemindahan perubatan hanyalah sebahagian kecil daripada jumlah pesakit yang memerlukan rawatan yang tidak tersedia setiap hari di Gaza.

Memetik Program Makanan Sedunia (WFP), Dujarric berkata lebih 1.6 juta penduduk menerima bantuan bungkusan makanan, makanan panas, roti atau bantuan tunai setiap bulan.

Selain itu, rakan kongsi kemanusiaan menyediakan kira-kira 1.1 juta hidangan makanan setiap hari menerusi lebih 120 dapur komuniti di seluruh Gaza.

“Namun lebih enam bulan selepas pengumuman gencatan senjata, WFP memaklumkan bahawa krisis kelaparan masih belum berakhir, dengan kadar kekurangan zat makanan kekal tinggi.

“Ramai keluarga masih bergantung kepada bantuan makanan untuk meneruskan kehidupan kerana harga makanan segar terlalu mahal. Satu daripada lima keluarga hanya makan sekali sehari,” kata beliau.

Menjawab soalan Anadolu sama ada amaran berulang mengenai kekurangan bantuan kemanusiaan didengari pihak berkaitan, Dujarric berkata organisasi itu berharap mesej mereka sampai di luar bilik sidang media, namun mengakui hasilnya masih terhad.

“Kami berharap ada pihak selain anda yang mendengar kami. Isu ini kami bangkitkan setiap hari kepada pihak Israel. Kami juga membangkitkannya kepada pihak Amerika.

“Hakikatnya, tidak banyak perkembangan positif berlaku. 

“Kami tidak mengawal sistem ini. Kami tahu keadaan sebenar di lapangan kerana rakan kami melihat sendiri situasi yang berlaku dan mengetahui apa yang diperlukan, namun bantuan yang diperlukan masih tidak diperoleh,” kata beliau.

Israel melancarkan perang genosid di Semenanjung Gaza pada Oktober 2023, mengorbankan lebih 72,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 172,000 yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Walaupun perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa sejak 10 Oktober tahun lepas, Israel terus melancarkan serangan maut dan sekatan ke atas Gaza hingga mengorbankan 837 rakyat Palestin serta mencederakan 2,381 yang lain, selain menyebabkan kemusnahan besar-besaran.