Forum Media Hawana Platform Perkukuh Daya Tahan Industri – Teo

KUALA LUMPUR, 7 Mei — Forum Media Hari Wartawan Nasional (HAWANA) menjadi platform kepada pengamal media untuk saling bertukar pandangan dan merangka penyelesaian praktikal bagi memastikan industri ini kekal relevan dan berdaya tahan dalam menghadapi kepesatan perubahan.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata forum bertemakan Media Berintegriti, Teras Kredibiliti, yang dihadiri lebih 200 peserta itu bukan sekadar platform perbincangan, malah medium untuk membentuk masa hadapan kewartawanan.

“Tema itu bukan sahaja relevan, malah amat penting bagi daya tahan, kemampanan dan kekuatan berterusan dunia kewartawanan dalam landskap maklumat yang berkembang pesat ketika ini,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian forum itu, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.

Teo berkata meskipun teknologi semakin maju, kewartawanan perlu mengekalkan nilai kemanusiaan yang menjadi teras. 

“Walaupun AI (kecerdasan buatan) menawarkan alat yang berkuasa untuk meningkatkan kecekapan dan inovasi, ia sewajarnya membantu – bukan menggantikan – pertimbangan manusia, integriti dan akauntabiliti. Keseimbangan ini amat penting tatkala kita mengharungi landskap media yang semakin berkembang,” katanya.

Mengenai kemampanan media, Teo berkata Dana Inovasi Media yang diperkenalkan bagi menyokong  latihan, penggunaan teknologi, infrastruktur, pembangunan kandungan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) telah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.

Beliau berkata Fasa Satu berjaya diselesaikan dengan 34 organisasi menerima RM12.38 juta.

Di bawah Fasa Dua pula sebanyak 16 pertubuhan menerima RM5.16 juta, manakala Fasa Tiga melibatkan 10 organisasi dengan peruntukan RM2.6 juta diluluskan, dan penerima mula menerima surat kelulusan mereka hari ini.

“Bagi Fasa Empat yang ditutup pada 14 April lepas, sebanyak 10 permohonan diterima dengan tujuh layak dan kini dalam proses penilaian. Fasa Lima kini dibuka hingga 14 Mei.

“Organisasi media tempatan yang berdaftar dengan Jabatan Penerangan amat digalakkan memohon bagi memperkukuh kemahiran, meningkatkan daya saing, dan meneroka pendekatan baharu dalam landskap media yang semakin berkembang,” katanya.

Forum yang diadakan menjelang sambutan HAWANA 2026 pada 20 Jun di Pulau Pinang itu, dijangka menumpukan kepada kemampanan media, realiti profesion yang semakin berubah serta penggunaan teknologi seperti AI dalam usaha memastikan industri terus relevan.

Sementara itu, mengenai Tabung Kasih@HAWANA, Teo berkata inisiatif yang diuruskan Bernama itu terus memelihara kebajikan pengamal media.

Beliau berkata sebanyak 728 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat daripada inisiatif itu, dengan jumlah keseluruhan sumbangan mencecah RM1.94 juta setakat 30 April.

“Pada tahun ini sahaja, sumbangan telah disalurkan kepada 122 pengamal media membabitkan jumlah keseluruhan RM370,000,” katanya sambil menambah bahawa peranan wartawan bukan sahaja mencabar dari segi profesionalisme, malah turut berdepan risiko keselamatan dan cabaran kesihatan.

Sehubungan dengan itu, Teo berkata penting untuk terus menyokong bukan sahaja kemampanan institusi media, malah kebajikan individu di sebalik profesion itu.

“Ketika kita melangkah ke hadapan, amat penting untuk kita terus menyokong bukan sahaja kemampanan institusi media, malah insan di sebalik setiap laporan yang dihasilkan bagi memastikan masyarakat sentiasa mendapat maklumat setiap hari,” katanya.