PUTRAJAYA, 8 Mei — Grab Malaysia memperkenalkan Group Ride, ciri baharu pada aplikasinya yang bertujuan menggalakkan perjalanan lebih efisien dan mampan di samping membantu pengguna mengurangkan kos pengangkutan.
Ciri berkenaan, yang membawa slogan “Kongsi Perjalanan, Kongsi Tambang”, selaras dengan usaha kerajaan untuk menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan tabiat mobiliti yang lebih bijak dan mampan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata inisiatif itu menyokong seruan #TanggungjawabBersama kementerian bagi pengendali e-panggilan untuk memperluas perkhidmatan perkongsian kereta dan mengurangkan perbelanjaan perjalanan pengguna.
“Gangguan bekalan bahan api akibat konflik di Asia Barat menyebabkan lebih banyak rakyat Malaysia beralih kepada pengangkutan awam untuk penjimatan. Justeru, kami menggalakkan pengenalan perkhidmatan yang menyediakan pilihan mobiliti lebih luas kepada pelanggan, selaras dengan mod pengangkutan lain seperti rel komuter bagi mengurangkan keperluan penggunaan kereta persendirian,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Grab Malaysia.
Loke berkata kementerian itu menyokong inisiatif yang meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi penambahbaikan dalam ekosistem pengangkutan.
“Kami gembira melihat teknologi Grab membolehkan perancangan laluan yang lebih bijak, sekali gus membantu rakan pemandu mengoptimumkan masa dan potensi pendapatan mereka ketika memandu selain mengurangkan pembaziran bahan api,” tambah beliau.
Loke turut merasai sendiri ciri berkenaan dengan menaiki Group Ridebersama beberapa pegawai kementerian di Putrajaya.
Sementara itu, Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti Grab Malaysia Rashid Shukor berkata ciri baharu itu diperkenalkan susulan permintaan tinggi daripada penumpang yang kerap berkongsi perjalanan bersama rakan sekerja, rakan dan ahli keluarga.
“Penumpang kami telah lama berkongsi perjalanan untuk menjimatkan tambang, khususnya dalam kalangan rakan sekerja yang berulang-alik ke tempat kerja atau rakan yang menuju ke acara sama, yang mendorong kami memperkenalkan Group Ride bagi menangani masalah mereka.
“Ciri ini meningkatkan aspek kemampuan, kemudahan dan fleksibiliti kepada penumpang, sekali gus mengurangkan kos perjalanan individu,” katanya.
Rashid berkata inisiatif itu juga akan memberi manfaat kepada ekosistem pengangkutan secara lebih meluas dengan mengoptimumkan penggunaan jalan raya, mengurangkan kesesakan serta menyokong sistem pengangkutan bandar yang lebih mampan, termasuk mengurangkan jejak karbon dan penggunaan petrol ketika krisis bekalan global berlaku.
Menerusi ciri itu, beberapa penumpang yang melakukan perjalanan di laluan sama boleh berkongsi sebuah kenderaan, sekali gus mengurangkan jumlah kereta di jalan raya sambil membolehkan lebih banyak penumpang tiba ke destinasi dengan lebih efisien.
Antara ciri utama yang ditawarkan ialah penjimatan tambang sehingga 40 peratus berbanding tempahan individu, pilihan pembayaran fleksibel dan teknologi pengoptimuman laluan berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kecekapan perjalanan.
Ciri itu juga menyokong pelbagai lokasi pengambilan dan penghantaran penumpang manakala fungsi Waiting Room yang bakal diperkenalkan akan membolehkan penumpang menyelaras dan menjejaki perjalanan secara masa nyata.
Grab memaklumkan tempahan Group Ride disepadukan dengan infrastruktur keselamatan sedia ada syarikat itu, termasuk Pusat Keselamatan, butang bantuan kecemasan SOS dan teknologi pemantauan perjalanan.
Ciri berkenaan sedang diperkenalkan secara berperingkat kepada pengguna yang layak di seluruh negara menerusi aplikasi mudah alih Grab.

















Tinggalkan Balasan