Agong Dipersembah Laporan Pembinaan Masjid Baharu Di Johor

JOHOR BAHRU, 13 Mei — Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima persembahan laporan pembinaan masjid-masjid baharu di Johor daripada Mufti negeri Datuk Yahya Ahmad. 

Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pembinaan sebanyak lima masjid baharu itu melibatkan dua di Johor Bahru serta masing-masing satu di Kluang, Mersing dan Kulai.

“Peruntukan pembinaan adalah daripada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Johor serta sumbangan orang ramai,” menurut hantaran itu. 

Sesi menghadap Seri Paduka Baginda yang juga Sultan Johor itu berlangsung di Istana Pasir Pelangi di sini. 

Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor Datuk Nasri Md Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor Datuk Mohd Radzi Mohd Amin. 

Dalam hantaran berasingan, Seri Paduka Baginda turut berkenan menerima menghadap Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir di istana sama.

Yang turut hadir, Pengarah Tanah dan Galian negeri Datuk Mohammed Shakib Ali.