Kedudukan Luaran Malaysia Kekal Teguh Dalam Ketidaktentuan Geopolitik – Kenanga Investment

KUALA LUMPUR, 15 Mei — Kedudukan luaran Malaysia dijangka kekal berdaya tahan walaupun ketidaktentuan geopolitik meningkat dan konflik Amerika Syarikat-Iran berterusan, menurut Kenanga Investment Bank Bhd.

Menurutnya walaupun kenaikan harga tenaga dan sentimen global yang lemah mungkin memberi kesan kepada sebahagian perdagangan dunia, Malaysia dijangka kurang terkesan berikutan sektor elektrik dan elektronik yang terus kukuh, terutama dalam segmen berkaitan kecerdasan buatan seperti semikonduktor, pelayan dan infrastruktur pusat data.

“Faktor sokongan struktur dijangka memastikan akaun semasa (CA) terus mencatat lebihan kukuh, dengan unjuran kami baki CA dijangka meningkat kepada 2.1 peratus pada 2026 (2025: 1.6 peratus),” menurutnya dalam nota penyelidikan bertajuk “Imbangan Pembayaran Malaysia pada Suku Pertama 2026,” hari ini.

Bank pelaburan itu memaklumkan, perbelanjaan modal hiperskala yang berterusan dan normalisasi inventori merentasi ekonomi maju dijangka terus menyokong permintaan eksport sehingga 2026.

Sementara itu, menurutnya, harga komoditi yang tinggi juga mungkin menyokong penerimaan eksport dan terma perdagangan.

“Eksport perkhidmatan dijangka terus kukuh, didorong oleh peningkatan aktiviti pelancongan dan pelaburan infrastruktur digital yang berterusan.

“Walaupun ringgit yang lebih kukuh mungkin meningkatkan import secara sederhana, kami menjangkakan imbangan luaran Malaysia kekal dalam lebihan yang selesa,” menurutnya.

Mengenai ringgit, bank pelaburan itu mengekalkan unjurannya pada kadar 3.95 berbanding dolar AS memandangkan keadaan makroekonomi semasa masih menyokong pengukuhan ringgit dalam julat tertentu dan bukannya perubahan struktur berterusan yang ketara di bawah paras 3.90.

Menurutnya kadar dasar dijangka stabil, dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada 2.75 peratus sepanjang 2026.

“Ketidaktentuan luaran dan persekitaran ringgit yang kukuh dijangka membolehkan BNM mengutamakan kestabilan makroekonomi dan mengekalkan fleksibiliti dasar berbanding meneruskan langkah awal untuk mengetatkan dasar monetari,” menurutnya.

BNM hari ini mengumumkan Malaysia mencatatkan lebihan dalam imbangan akaun semasa yang lebih besar sebanyak RM15.2 bilion pada suku pertama 2026 berbanding RM2.7 bilion pada suku tahun sebelumnya didorong oleh lebihan barangan yang lebih besar dan lebihan perkhidmatan yang lebih tinggi disokong oleh penerimaan daripada sektor pelancongan dan teknologi maklumat dan komunikasi.