Malaysia Pelawa Perusahaan China Erat Kerjasama Dalam Ekonomi Digital – Teo

KUALA LUMPUR, 15 Mei — Malaysia telah mempelawa perusahaan China untuk mempererat kerjasama dengan syarikat tempatan dalam teknologi digital maju, kecerdasan buatan (AI), aplikasi 5G dan penyelesaian tenaga bersih, seiring dengan usaha negara untuk terus memperkukuh ekosistem ekonomi digital.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kerjasama antarabangsa kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi digital Malaysia dan kerjasama dua hala dengan China terus berkembang.

“Dalam masa sama, Malaysia terus mengalu-alukan kolaborasi antarabangsa sebagai pemacu utama ekonomi digital negara. Kami menjemput perusahaan China untuk memperkukuh kerjasama dengan rakan dari Malaysia,” katanya. 

Teo berkata demikian semasa berucap pada Ekspo Perdagangan Industri Pintar China (CSITE) di sini hari ini. 

Hadir sama Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing serta Presiden Persatuan Usahawan China di Malaysia (PUCM) Datuk Keith Li.

Teo berkata perusahaan kedua-dua negara perlu memanfaatkan kekuatan untuk saling melengkapi dan bekerjasama rapat bagi terus memperkukuh kerjasama dua hala. 

“Kami menggalakkan perusahaan dari dua negara ini untuk saling belajar, memanfaatkan kekuatan dan bekerjasama rapat untuk mengukuhkan kerjasama dan memberikan manfaat ketara kepada rakyat kita,” katanya. 

Beliau berkata China kekal menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut dengan kerjasama dalam teknologi pintar dan ekonomi digital semakin kukuh.

“Kedua-dua negara berkongsi kekuatan yang saling melengkapi dengan China membawa inovasi teknologi canggih manakala Malaysia menawarkan hab ASEAN yang strategik, infrastruktur digital dan pasaran yang rancak,” katanya.

Teo juga mengalu-alukan penubuhan Perikatan Ekonomi Digital Malaysia China yang dipromosikan secara bersama-sama oleh PUCM, Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (PIKOM) dan Silk Road Group. 

Beliau berkata perikatan itu akan menjadi jambatan untuk memupuk penyelarasan dasar, sinergi industri dan pertukaran inovasi selain mempercepat pelaksanaan teknologi pintar dan membuka potensi lebih besar bagi pertumbuhan digital dua hala dan serantau.