Pegawai, Anggota Digantung Tugas Susulan Penemuan Barang Terlarang Di Lokap IPD Ipoh

KUALA LUMPUR, 15 Mei — Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggantung tugas pegawai dan anggota yang terlibat susulan penemuan barangan terlarang di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Perak baru-baru ini.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata tindakan itu diambil selepas siasatan mendapati berlaku “kelompongan” sehingga membolehkan beberapa bahan terlarang ditemukan di dalam lokap berkenaan dengan Ketua Polis Daerah (KPD) turut diarahkan menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden itu.

“Jadi saya telah mengambil tindakan segera mengarahkan KPD menjalankan siasatan, mengambil tindakan menggantung pegawai dan anggota yang berkaitan.

“Tindakan seterusnya akan dibuat bersama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan juga beberapa jabatan yang berkaitan bagi memastikan perkara ini tidak berulang,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan pemeriksaan mengejut Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menemukan pelbagai barangan terlarang termasuk dadah, telefon bimbit dan senjata tajam di dalam sebuah sel lokap di Balai Polis Sentral, IPD Ipoh Selasa lepas, selepas mendapat maklumat awam.

Dalam pada itu, Mohd Khalid berkata polis telah menahan 35 individu berhubung kegiatan sindiket peminjam wang haram di Singapura yang menggunakan penghantar makanan warga tempatan bagi mengganggu peminjam yang ingkar.

Beliau berkata suspek yang ditahan adalah warga tempatan termasuk mereka yang bekerja sebagai penghantar makanan dan yang membenarkan akaun bank mereka dijadikan keldai akaun oleh sindiket terbabit.

Katanya operasi bersepadu bersama polis Singapura bagi menyiasat dan membanteras kegiatan berkenaan masih diteruskan.

Media sebelum ini melaporkan sindiket terbabit didakwa menggunakan penghantar barangan warga Malaysia untuk menghantar barangan tertentu termasuk produk khinzir kepada peminjam beragama Islam di Singapura yang tidak membayar pinjaman sebagai ugutan.