SPRM Terus Perkukuh Kerjasama Strategik Dengan AGC – Abd Halim

PUTRAJAYA, 15 Mei — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Jabatan Peguam Negara (AGC) terutama dalam pengendalian kes berprofil tinggi, berskala besar dan berkepentingan awam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata kes sedemikian akan sentiasa dirujuk kepada AGC sebagai pihak berkuasa yang menentukan tindakan undang-undang terhadap kes disiasat SPRM.

“Saya akan melakukan yang terbaik untuk memimpin, mereformasi dan memperkukuh SPRM,” katanya dalam kenyataan hari ini bersempena dengan kunjungan hormat ke atas Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar semalam.

Kunjungan itu merupakan lawatan rasmi pertama Abd Halim selepas dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa 13 Mei.

Sementara itu, Mohd Dusuki merakamkan penghargaan kepada Abd Halim atas kunjungan hormat pertamanya selaku Ketua Pesuruhjaya SPRM ke atas AGC.

“AGC dan SPRM berpisah tiada. Kerjasama yang terjalin akan diteruskan,” katanya.

Hadir sama ialah Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan AGC Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin dan Ketua Bahagian Pendakwaan AGC Datuk Masri Mohd Daud.