KUALA LUMPUR, 8 Okt — Penganjuran Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang berjaya menarik 261,000 penonton dengan kesan limpahan ekonomi lebih RM345 juta kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim berkata hampir separuh daripada penonton yang hadir terdiri daripada pelancong asing.
“Impak itu mencerminkan peranan penting acara sukan antarabangsa berskala besar dalam merangsang aktiviti ekonomi, khususnya menerusi peningkatan perbelanjaan pelancongan serta permintaan terhadap produk dan perkhidmatan tempatan.
“F1 GP Bahrain di Malaysia telah memberikan impak yang amat ketara kepada PMKS, khususnya yang beroperasi dalam industri penginapan, makanan dan minuman, peruncitan, pengangkutan, hiburan, perkhidmatan berkaitan pelancongan serta aktiviti sokongan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Penonton yang menghadiri perlumbaan F1 itu diunjurkan berbelanja 2.17 kali ganda lebih tinggi berbanding acara biasa.
Pelancong asing lazimnya berbelanja lebih tinggi berikutan tempoh penginapan lebih lama serta perbelanjaan untuk penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan, aktiviti membeli-belah dan pengalaman riadah.
Beliau berkata berdasarkan kejayaan serta kesan limpahan yang diperoleh, Malaysia boleh memanfaatkan acara sukan antarabangsa seperti F1 sebagai platform untuk PMKS mendapatkan peluang dan akses pasaran lebih luas.
“Usaha ini termasuk memperkukuh hubungan antara PMKS dengan pemain industri yang lebih besar, penganjur acara, pengusaha pelancongan dan pembekal tempatan supaya manfaat ekonomi yang dijana oleh acara berskala besar ini dapat dinikmati lebih ramai peniaga kecil,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia Rizal Datuk Nainy berkata manfaat daripada penganjuran acara sukan antarabangsa berskala besar seperti F1 dan penglibatan PMKS turut menyokong matlamat jangka panjang agensi itu, khususnya agenda penskalaan PMKS di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).













Tinggalkan Balasan