KUALA LUMPUR, 15 Mei — Inisiatif Persatuan Usahawan China di Malaysia (PUCM) telah memberikan sumbangan bermakna dalam memperkukuh hubungan antara komuniti perniagaan Malaysia dan usahawan China di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata penganjuran Ekspo Perdagangan Industri Pintar China (CSITE) edisi keenam serta penubuhan Malaysia-China Digital Economy Alliance (MCDEA) hari ini ialah platform penting bagi menggalakkan pertukaran antara Malaysia dan China, khususnya dalam industri pintar, inovasi digital dan teknologi termaju.
“Saya yakin acara ini akan mewujudkan lebih banyak kerjasama bagi memupuk pertumbuhan bersama.
“Ia adalah antara inisiatif yang membantu memperkukuh hubungan dua hala serta memajukan pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara,” kata beliau menerusi mesej yang dipaparkan pada skrin di majlis berkenaan hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing serta Presiden PUCM Datuk Keith Li.
Perdana Menteri turut menzahirkan keyakinan bahawa CSITE edisi keenam akan mewujudkan peluang berharga untuk kerjasama dan manfaat bersama.
“Saya yakin CSITE edisi keenam akan menjana peluang berharga untuk kerjasama dan manfaat bersama, dan saya memuji semua pempamer serta peserta kerana menjayakan acara ini,” kata beliau.
















Tinggalkan Balasan