SEREMBAN, 15 Mei — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan setiap projek dan program di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) mesti benar-benar memberi manfaat serta dapat dirasai oleh rakyat di lapangan.
Beliau berkata perkara itu ditegaskan ketika mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Daerah Seremban, hari ini bagi meneliti status pelaksanaan program serta projek di bawah RMK13.
Anwar berkata perbincangan mesyuarat memberi fokus kepada aspek yang dekat dengan keperluan rakyat termasuk pendidikan, tebatan banjir, infrastruktur, kesihatan serta pengukuhan sosioekonomi.
“Keutamaan kita adalah memastikan setiap perancangan diterjemah kepada tindakan yang berkesan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Mesyuarat itu turut disertai Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun serta Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.
Perdana Menteri turut menegaskan Kerajaan MADANI akan terus menyelaras seluruh ikhtiar merentas kementerian dan agensi bagi memastikan pelaksanaan lebih cekap serta penyampaian bantuan dan pembangunan dapat dipercepat.
Sementara itu, beliau berkata pemantauan perlu diperkukuh supaya tiada kelewatan, ketirisan atau masalah pelaksanaan yang boleh menjejaskan rakyat.
“Setiap projek mesti dipantau dengan teliti dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab serta amanah,” katanya.
Pagi tadi, Anwar merasmikan sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2026 bertemakan ‘Menggerak Belia MADANI’ sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Sri Sendayan di sini.
Beliau kemudian menyaksikan penyerahan cek cura berjumlah RM47.7 juta bagi pelaksanaan aktiviti dan inisiatif berkaitan hal ehwal Islam di Negeri Sembilan yang diserahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Zafir Ibrahim mewakili kerajaan negeri.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM42.3 juta diperuntukkan bagi bayaran imbuhan dan elaun imam, bilal, siak, guru takmir dan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).
Perdana Menteri berkata Kerajaan MADANI akan terus memartabatkan syiar Islam serta memperkukuh institusi pendidikan Islam di seluruh negara termasuk di Negeri Sembilan sebagai antara agenda penting dalam membina masyarakat MADANI yang berteraskan ilmu, akhlak dan ihsan.
Beliau berkata usaha itu penting bagi memastikan syiar Islam terus subur dan diperkasa, selain menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa, selamat dan kondusif buat pelajar serta tenaga pengajar.
“Insya-Allah, Kerajaan MADANI terus memperkukuh agenda pembangunan ummah demi melahirkan masyarakat yang berilmu, berakhlak dan sejahtera berlandaskan nilai-nilai Islam yang syumul,” katanya.
















Tinggalkan Balasan