ISTANBUL, 16 Mei — Perdana Menteri Lubnan Nawaf Salam pada Jumaat memohon sokongan Arab dan antarabangsa terhadap negaranya dalam rundingan “sukar” dengan Israel, lapor Anadolu Ajansi memetik agensi berita negara NNA.
Kenyataan Salam dibuat ketika majlis anjuran Persatuan Al-Maqasid bagi menghargai bekas presidennya, Faisal Sinno.
“Kita tiada jalan keluar daripada kemelut ini kecuali dengan berani berdepan seluruh kebenaran, sepahit mana sekalipun supaya bersama-sama, tanpa pengecualian atau paksaan, kita dapat memperkukuh struktur dalaman dan mengukuhkan institusi kita,” kata Salam.
Beliau mencadangkan usaha “menggembleng semua sokongan Arab dan antarabangsa bagi memperkukuh kedudukan Lubnan dalam rundingan sukar yang bermula semalam” dengan Israel.
Kenyataan Salam dibuat serentak dengan pengumuman Amerika Syarikat bahawa gencatan senjata antara Israel dan Lubnan akan dilanjutkan selama 45 hari susulan rundingan antara kedua-dua pihak yang disifatkan Washington sebagai “amat produktif”.
Salam berkata beliau akan membawa perkara itu ke forum antarabangsa bagi memohon “penghantaran misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengumpul bukti dan menyiasat jenayah yang dilakukan Israel”.
“Negara kita sedang melalui krisis paling berbahaya sejak penubuhan negara Lubnan.
“Selama bertahun-tahun, negara ini dilayan seperti harta rampasan perang, bukan sebagai kerangka yang menyatukan seluruh rakyat Lubnan.”
“Sebarang usaha sebenar untuk menyelamatkan Lubnan hari ini mustahil tanpa kembali kepada logik negara yang jelas,” kata Salam.
Sejak 2 Mac, serangan Israel terhadap Lubnan mengorbankan lebih 2,950 orang, mencederakan hampir 9,000 lagi dan menyebabkan lebih 1.6 juta penduduk hilang tempat tinggal — kira-kira satu perlima daripada jumlah penduduk negara itu, menurut pegawai Lubnan.













Tinggalkan Balasan