Kerajaan Akan Terus Semak, Pertimbang Tambah Peruntukan Untuk KPM – PM Anwar

IPOH, 16 Mei — Kerajaan akan terus menyemak dan mempertimbang menambah peruntukan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) dari semasa ke semasa termasuk bagi memperkasa bidang digital, kecerdasan buatan (AI) dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan dalam belanjawan akan ditingkatkan selaras dengan keperluan semasa sektor pendidikan negara.

“Dalam perjumpaan saya dengan Kementerian Kewangan awal minggu ini, kita bincang juga soal pendidikan kerana kita minta sekarang ini (penekanan kepada) digital, AI, pengkomputeran, STEM dan sebagainya.

“Kita dah putuskan untuk review (semak) apa-apa keperluan supaya dalam belanjawan tahun ini, kita dapat tingkatkan lagi perbelanjaan dan kelulusan untuk KPM,” kata beliau ketika berucap semasa merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-55, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Dalam pada itu, Anwar berkata Kerajaan MADANI telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi kebajikan   guru termasuk melaksanakan penyelenggaraan dan naik taraf bilik guru di 3,500 sekolah.

“Bilik guru dinaik taraf dan diselenggara bagi menempatkan pertambahan bilangan guru, kita telah  selenggara sebanyak 7,000 bilik guru,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata berikutan dasar kemasukan murid Tahun 1 berumur enam tahun bermula sesi  persekolahan 2027, kerajaan telah meluluskan pertambahan bilangan guru seramai 3,150 orang. 

Anwar berkata lebih 4,000 kuarters guru telah diselenggarakan dan sebanyak 8,700 lagi akan diselenggara secara keseluruhan menerusi peruntukan tambahan oleh kerajaan.

Terdahulu, Fadhlina mengumumkan peruntukan tambahan RM100 juta bagi melaksanakan  penyelenggaraan dan menaik taraf bilik guru di seluruh negara, selain RM50 juta bagi penyelenggaraan kuarters guru.