Sultan Sharafuddin Harap Generasi Muda, ADUN Selangor Hayati Prinsip Rukun Negara

SHAH ALAM, 19 Mei — Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan harapan agar orang ramai terutamanya generasi baharu yang berkunjung ke Dataran Selangor menempatkan Plak Monumen Rukun Negara, dapat membaca dan menghayati prinsip Rukun Negara sebagai asas perpaduan rakyat Malaysia.

Baginda turut menyeru kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor untuk datang ke Dataran Selangor dua kali sebulan dan membaca serta memahami makna Rukun Negara yang tertera pada Plak Monumen berkenaan. 

“Khusus ditujukan kepada wakil rakyat Seri Kembangan, Wong Siew Ki dari DAP dan bekas Exco DAP Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew, Beta sarankan agar datanglah seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk fahamkan dan hayati makna Rukun Negara, agar menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan,” titah baginda dalam kenyataan hari ini. 

Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan berangkat ke Dataran Selangor untuk melihat sendiri Plak Monumen Rukun Negara yang ditempatkan berhadapan Tiang Bendera Negeri Selangor.

Kos pembinaan plak monumen tersebut dibiayai sepenuhnya oleh Sultan Sharafuddin dan ia dibina serta dipasang oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor lengkap dengan kemudahan tempat duduk untuk pengunjung.

“Dengan terbinanya plak monumen ini, Beta ingin mengimbas kembali dan mengingatkan mengenai sejarah bagaimana lahirnya konsep Rukun Negara. Segalanya bermula ketika darurat diisytiharkan akibat tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

“Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) yang ditubuhkan sebagai Badan Pemerintah pada ketika itu, telah berunding bersama anggota-anggotanya untuk melahirkan konsep Rukun Negara sebagai manifestasi ideologi kebangsaan bagi tujuan pengukuhan perpaduan antara kaum di negara ini,” titah baginda.