ALOR SETAR, 20 Mei — BDB Infra Sdn Bhd (BDB Infra) yang juga anak syarikat milik penuh Bina Darulaman Bhd (BDB) memperoleh kontrak penyelenggaraan jalan negeri bernilai RM251.65 juta daripada kerajaan Kedah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB Che Abdul Khalid Md Din berkata kontrak bagi tempoh lima tahun itu melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan jalan di Zon 1 yang merangkumi daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap dan Pokok Sena.
“Penganugerahan kontrak itu mencerminkan keyakinan berterusan kerajaan negeri Kedah terhadap keupayaan dan kredibiliti BDB Infra dalam melaksanakan projek penyelenggaraan infrastruktur secara cekap, berkualiti dan konsisten.
“Penganugerahan itu merupakan satu pengiktirafan bermakna kepada Kumpulan BDB dan BDB Infra atas pengalaman serta rekod prestasi kami dalam sektor penyelenggaraan dan pembinaan jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata BDB komited memastikan projek itu dilaksanakan mengikut spesifikasi dan standard ditetapkan demi menjamin keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya di negeri ini.
“Kontrak tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan dan prestasi kewangan Kumpulan BDB bagi tempoh kewangan 2026 hingga 2031, sekali gus memperkukuh keyakinan pemegang taruh dan pelabur terhadap prospek pertumbuhan syarikat.
“Projek itu turut dijangka memberi impak positif kepada pembangunan infrastruktur negeri serta memacu aktiviti ekonomi setempat melalui peluang pekerjaan dan penglibatan rantaian bekalan tempatan,” katanya.
BDB Infra merupakan kontraktor Gred G7 yang mempunyai pengalaman dan rekod kerja yang cemerlang lebih 50 tahun dalam pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembinaan jalan raya serta operasi kuari di utara tanah air.
Bagi tempoh 10 tahun sejak 2015, BDB Infra telah menerima kontrak penyelenggaraan jalan daripada kerajaan negeri Kedah secara berterusan merangkumi beberapa daerah di negeri ini.

















Tinggalkan Balasan