Rusia, China Suarakan Kebimbangan Pengukuhan Ketenteraan Di Artik Oleh AS Dan Sekutunya

MOSCOW, 20 Mei — Rusia dan China pada Rabu menyuarakan kebimbangan terhadap apa yang disifatkan sebagai “peningkatan pengukuhan ketenteraan di Artik oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya,” lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam deklarasi bersama mengenai usaha memperkukuh lagi penyelarasan strategik menyeluruh serta memperdalam hubungan kejiranan baik dan kerjasama persahabatan, yang diterima pakai selepas rundingan antara Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden China Xi Jinping di Beijing, kedua-dua negara menegaskan kepentingan menghormati kedaulatan dan integriti wilayah negara Artik.

Moscow dan Beijing menegaskan yang mereka mahu mengekalkan Artik sebagai “wilayah keamanan, kestabilan dan ketegangan ketenteraan-politik yang rendah.”

“Kedua-dua pihak menyuarakan kebimbangan terhadap aktiviti ketenteraan kawasan latitud tinggi oleh Amerika Syarikat dan sekutunya, serta menegaskan komitmen mereka terhadap norma undang-undang antarabangsa di Artik,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menekankan kepentingan membangunkan “dialog konstruktif dan kerjasama saling menguntungkan” di rantau berkenaan melalui mekanisme pelbagai hala termasuk Majlis Artik.