PAS Tidak Tunduk Kepada Bersatu, Sedia Kaji Semula Kerjasama

MARANG, 22 Mei — PAS tidak akan tunduk kepada kehendak mana-mana pihak termasuk Bersatu dalam menentukan hala tuju politik parti itu.

Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata parti itu akan mengkaji secara terperinci setiap tindakan negatif yang dilakukan oleh Bersatu.

Selain itu, Abdul Hadi berkata PAS tidak menolak kemungkinan untuk bergerak tanpa Bersatu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), sekiranya kedua-dua parti itu gagal mencapai kata sepakat dalam kerjasama politik mereka.

Beliau berkata parti itu kini sedang menilai semula hubungan dengan rakan sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN) itu secara menyeluruh bagi memastikan ia tidak menjejaskan prestasi parti.

“Segala aspek (kaji hubungan) sebab pilihan raya dah dekat. Pilihan raya ini ada untung rugi. Kalau menjejaskan urusan pilihan raya, kita bertindaklah mengikut apa yang sepatutnya,” katanya pada sidang media selepas Kuliah Dhuha, di sini hari ini.

Abdul Hadi juga memberikan gambaran bahawa hubungan antara kedua-dua parti itu kini sedang diuji apabila menyatakan PAS masih bersabar, namun menegaskan kesabaran ada batasnya.