Kelantan Berpotensi Jadi Hab Tenaga Hijau Negara

KOTA BHARU, 1 Jun — Kelantan mempunyai potensi geografi dan cuaca yang luas untuk dibangunkan sebagai hab atau “lubuk ekonomi” tenaga boleh baharu negara, namun kadar penyerapan teknologi itu pada peringkat domestik dan perusahaan kecil dan sederhana masih di tahap yang perlahan.

Profesor Madya Fakulti Sains Data dan Komputeran, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Prof Madya Dr. Hasyiya Karimah Adli berkata biarpun projek solar berskala besar telah mula wujud di negeri ini, pendedahan rakyat terhadap penggunaan solar persendirian masih pada tahap rendah disebabkan kekangan kos modal permulaan yang tinggi.

​Beliau yang merupakan penyelidik berkata kos pemasangan sistem panel solar domestik pada ketika ini dianggarkan mencecah antara RM15,000 hingga RM30,000 untuk sebuah rumah.

​”Kawasan bentuk muka bumi Kelantan yang landai serta penerimaan cahaya matahari yang konsisten dengan kadar radiasi solar tinggi antara 4.21 hingga 5.56 kWh/m² setiap hari menjadikan negeri ini sangat ideal untuk industri solar.

​”Bagaimaapun, pada peringkat domestik pemasangan kekal perlahan. Rakyat mungkin tidak sedar bahawa kerajaan ada menyediakan pelbagai inisiatif seperti skim sewaan solar tanpa modal awalan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

​Mengulas lanjut mengenai potensi Kelantan, Hasyiya Karimah berkata negeri itu merekodkan penggunaan elektrik sekitar 2,500 GWh hingga 3,000 GWh setahun dan mengikut pengiraan analitik data, Kelantan hanya memerlukan kapasiti pemasangan sekitar 2.22 GWp (Gigawatt-peak) untuk menampung 100 peratus keperluan elektriknya sendiri.

​”Kapasiti ini secara teknikalnya memerlukan ruang seluas kira-kira 7,777 ekar. Angka ini kelihatan besar tetapi ia sebenarnya hanya mewakili 0.2 peratus sahaja daripada keseluruhan keluasan tanah negeri Kelantan yang berjumlah 3.7 juta ekar. Kita mempunyai tanah terbiar yang luas dan bumbung bangunan yang mencukupi,” katanya.

​Beliau turut memuji kewujudan Loji Solar Terapung Danau Tok Uban berkapasiti 98 MWp di Pasir Mas sebagai model rujukan terbaik, dengan inovasi solar terapung atau floating solar berjaya mengatasi isu penerangan hutan (land clearing) di samping meminimumkan impak negatif terhadap alam sekitar setempat.

​Hasyiya Karimah turut menarik perhatian terhadap impak rantaian global seperti krisis geopolitik di Asia Barat dan Selat Hormuz yang menjadi laluan 25 peratus pasaran minyak dunia, sekali gus meletakkan harga minyak mentah Brent melepasi USD100 setong.

“Berdasarkan laporan Maybank Investment Bank, Malaysia berada dalam zon risiko tinggi apabila 69 peratus import minyak mentah negara bergantung kepada rantau Teluk Parsi,” katanya.

​”Kerapuhan bekalan fosil antarabangsa ini menjadi “loceng amaran” mengapa Kelantan perlu memacu kedaulatan tenaganya sendiri. Salah satu langkah jangka pendek terpantas ialah memperluaskan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) secara hibrid bagi penjawat awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

​Bagi merancakkan lagi penggunaan tenaga hijau ini, beliau mencadangkan agar pihak berkaitan mewujudkan laluan pantas bagi permohonan pemasangan solar bagi domestik.

​”Birokrasi pendaftaran perlu dikurangkan. Sebagai contoh, permohonan pemasangan domestik di bawah kapasiti 10 kilowatt puncak (kWp) sepatutnya boleh diluluskan dalam tempoh 48 jam menerusi laluan hijau (green lane). 

“Selain itu, insentif seperti rebat tunai atau diskaun melalui aplikasi e-dompet (seperti platform BUDI MADANI) juga mampu menarik lebih ramai pengguna,” katanya.

​Menyentuh mengenai impak sosioekonomi, beliau optimis bahawa peralihan kepada tenaga boleh baharu sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) akan mencipta ribuan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi buat rakyat tempatan dan menjadikan pasaran tenaga kerja lebih kompetitif serta celik digital.

Beliau berkata permintaan terhadap tenaga kerja mahir semakin meningkat, merangkumi pelbagai bidang seperti pengurusan grid pintar, kejuruteraan solar serta penganalisis data tenaga.

​”Institusi pendidikan juga kini sedang memainkan peranan aktif. Di UMK sendiri, kami mempunyai Fakulti Sains Data dan Komputeran yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan pembelajaran mesin bagi meramal penjanaan tenaga solar. 

“UMK juga menawarkan program Sarjana Muda Tenaga di Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi serta program Analitik Alam Sekitar di Fakulti Sains Bumi,” katanya.

​Beliau berkata lonjakan penggunaan kenderaan elektrik (EV) ketika ini menjadi pemangkin utama. Melalui teknologi pintar Vehicle-to-Home(V2H), bateri EV di garaj rumah boleh berfungsi sebagai storan tenaga rumah pada waktu malam menggunakan kuasa solar yang dicas percuma pada waktu siang.

​Hasyiya Karimah berkata bagi memastikan tenaga solar benar-benar menjadi realiti dan sumber ekonomi utama di Kelantan dalam tempoh 10 tahun akan datang, pihak universiti, pemain industri dan kerajaan negeri perlu duduk semeja bagi merangka dasar sosioekonomi yang komprehensif.

​”Kuasa sesebuah negara atau negeri hari ini bukan lagi terletak pada berapa banyak minyak yang digali dari bawah tanah, tetapi sejauh mana kita bijak mentafsir data dan menangkap cahaya matahari di atas bumbung rumah kita sendiri,” katanya.