TPM Fadillah Sempurnakan Pembukaan ETCon26, Saksi Pertukaran Perjanjian Majukan Peralihan Tenaga

KUALA LUMPUR, 3 Jun — Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuka tirai hari ini dengan momentum yang memberangsangkan.

Persidangan utama TNB itu menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin industri, pelabur dan pakar teknologi bagi mempercepatkan agenda peralihan tenaga Malaysia di tengah-tengah peningkatan pesat permintaan terhadap kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur digital. 

Edisi kedua ETCon26  itu yang diadakan dari 3 hingga 5 Jun 2026, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur,  dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menerusi ucaptama khas beliau, Fadillah menyifatkan ETCon26 sebagai platform serantau yang tepat pada masanya serta strategik dalam memperkukuh kerjasama, memacu pelaksanaan dan memajukan penyelesaian praktikal bagi agenda peralihan tenaga di Malaysia dan ASEAN. 

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada TNB atas kejayaan penganjuran ETCon edisi kedua ini dan menjadikannya sebagai platform yang diyakini, menghimpunkan pemikir terbaik dari seluruh dunia. Persidangan ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam mempercepatkan peralihan tenaga serta menggerakkan perbincangan kepada pelaksanaan,” katanya. 

Perjanjian Penting Bawa Momentum Pelaksanaan 

Hari pembukaan ETCon26 menyaksikan pertukaran beberapa perjanjian penting dan pengiktirafan yang disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, menandakan momentum kukuh dalam memajukan agenda peralihan tenaga. 

Antara sorotan utama ialah penyampaian pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBR) bagi projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) Santong milik TNB di Terengganu yang baru dilancarkan.

Projek ini diiktiraf sebagai projek BESS pertama Malaysia yang disambungkan ke grid, yang menyokong kestabilan grid negara.  

Fasiliti berkapasiti 100 MW/400 MWh itu telah memulakan operasi lebih awal daripada jadual asal, iaitu pada 16 April 2026, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam usaha pemodenan grid Malaysia serta memperkukuh keupayaan negara melaksanakan projek penyimpanan tenaga bateri berskala besar pada tahap komersial.

Projek tersebut mampu menyokong permintaan elektrik bagi kira-kira 40,000 isi rumah. 

Satu lagi pencapaian penting ialah pertukaran perjanjian pemegang saham dan kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan melibatkan TNB Power Generation Sdn Bhd, Terengganu Incorporated Sdn Bhd, Cypark Renewable Energy Sdn Bhd dan Fabulous Sunview Sdn Bhd bagi projek Solar Terapung Hidro Hibrid (HHFS) di Kenyir, Terengganu. 

Projek tersebut menggabungkan kapasiti penjanaan solar terapung berjumlah 785 MWp dengan sistem BESS berkapasiti 1,190 MWh, terbesar di Asia Tenggara, sekali gus memperkukuh aspirasi Malaysia untuk memperluaskan penyelesaian tenaga boleh baharu bersepadu dan meningkatkan keterjaminan tenaga jangka panjang. 

Timbalan Perdana Menteri turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman Usaha Sama antara TNB Renewables Sdn Bhd dan SME Consortium bagi pembangunan projek Ground Mounted Solar berkapasiti 750 MWp bersama BESS berkapasiti 1,000 MWh. 

Dialog dan Perbincangan Ketengah Masa Depan Tenaga ASEAN 

Hari pertama ETCon26 menampilkan acara pleno dan dialog yang menghimpunkan penggubal dasar, pemimpin utiliti, pemain teknologi, pelabur dan pakar tenaga dari seluruh ASEAN serta komuniti antarabangsa. 

Antara sesi utama ialah “Beyond the Trilemma: Managing Complexity in the Age of Electrification”, yang meneroka strategi praktikal bagi memastikan bekalan tenaga yang terjamin dan mampu milik sambil memajukan usaha penyahkarbonan. 

Satu lagi sesi penting ialah “ASEAN’s Net Zero Pathway: Can ASEAN Decarbonise without Nuclear Power?” yang meneliti peranan tenaga nuklear bersama tenaga boleh baharu dan alternatif rendah karbon lain dalam membentuk masa depan tenaga serantau yang selamat, mampu milik dan mampan. 

Perbincangan lain turut memberi tumpuan kepada sistem tenaga dipacu AI, grid masa hadapan, adaptasi iklim, pendigitalan, transformasi tenaga kerja dan keterhubungan tenaga ASEAN. 

Secara keseluruhannya, perbincangan ini mencerminkan keperluan mendesak untuk kerjasama serantau yang lebih kukuh serta penyelesaian praktikal ketika negara-negara berada di persimpangan kritikal yang semakin kompleks antara keterjaminan tenaga, penyahkarbonan, pendigitalan dan pertumbuhan ekonomi dalam era AI. 

Melangkah ke Hadapan 

Penyertaan yang memberangsangkan serta perbincangan meluas hari ini memperkukuh peranan ETCon26 sebagai platform serantau strategik dalam memajukan penyelesaian praktikal, kerjasama dan penyelarasan dasar dalam usaha ke arah peralihan tenaga. 

Hari kedua ETCon26 dijangka mengupas perbincangan berkaitan kesalinghubungan tenaga, AI dan pertumbuhan ekonomi, dengan tumpuan terhadap pelaburan, keterhubungan serantau dan penterjemahan aspirasi peralihan tenaga kepada tindakan. 

“Perbincangan di ETCon26 jelas menunjukkan keperluan mendesak untuk semua pihak berkepentingan bekerjasama secara menyeluruh dalam mencapai agenda peralihan tenaga.

“TNB akan terus memainkan peranan penting sebagai pemudah cara dalam menyokong aspirasi kemampanan dan ekonomi jangka panjang Malaysia dan ASEAN melalui pelbagai usaha termasuk pemodenan grid, integrasi tenaga bersih dan boleh baharu, serta kerjasama strategik,” kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad.