Gas Malaysia Guna Pakai Sistem Penyahkarbonan Loop Pertama Di Rantau Asia Pasifik

KUALA LUMPUR, 3 Jun — Gas Malaysia Bhd mengguna pakai sistem LOOP yang pertama di Asia Pasifik, menggunakan teknologi yang dibangunkan oleh Levidian Nanosystems Ltd untuk menghasilkan grafen dan memerangkap karbon daripada metana.

Kejayaan sistem itu memperkukuh transformasi Gas Malaysia di bawah strategi pertumbuhan GM32, yang menyaksikan syarikat itu berkembang melangkaui peranan tradisinya sebagai pengedar gas kepada penyedia penyelesaian bernilai tinggi dan pembina ekosistem dalam bahan termaju.

Dibangunkan dengan kerjasama Levidian yang berpangkalan di United Kingdom, teknologi LOOP menukarkan metana kepada grafen berkualiti tinggi dan gas kaya hidrogen, sekali gus mencipta nilai baharu daripada infrastruktur gas sedia ada sambil membolehkan aplikasi perindustrian yang lebih bersih dan cekap.

Bercakap pada majlis pelancaran inisiatif “Daripada Metana kepada Grafen: Merevolusikan Industri dengan Grafen” di sini hari ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang berkata kerjasama kukuh antara Malaysia dan United Kingdom, seperti yang dibuktikan melalui perkongsian antara Gas Malaysia dan Levidian, akan melengkapi usaha berterusan NanoMalaysia Bhd (NMB) dan seterusnya merancakkan lagi ekosistem bahan termaju kebangsaan.

Beliau berkata penggunaan teknologi LOOP Levidian di Malaysia, yang merupakan pemasangan pertamanya di Asia Pasifik, mencerminkan keyakinan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap ekosistem perindustrian di negara ini.

“Teknologi baharu pengeluaran grafen seperti LOOP Levidian, boleh melengkapi kemudahan pengeluaran grafen sedia ada di Malaysia, seterusnya meningkatkan pengeluaran grafen negara, memperkukuh keselamatan rantaian bekalan dan menyokong penggunaan hiliran yang lebih meluas oleh industri domestik.

“Lebih penting lagi, perkongsian seumpama ini mencipta peluang yang melangkaui pelaksanaan teknologi semata-mata. Ia memudahkan pertukaran pengetahuan, pembangunan keupayaan, peningkatan bakat dan inovasi secara kolaboratif, sekali gus memperkukuh daya saing jangka panjang Malaysia,” kata Chang.

Turut hadir ialah Pengerusi Gas Malaysia Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, Pengarah Perdagangan dan Pelaburan Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur Richard Colley dan Ketua Pegawai Komersial Levidian United Kingdom Ian Hopkins.

Chang turut menekankan peranan NMB dalam memajukan pembangunan dan pengkomersialan penyelesaian berasaskan grafen melalui Pelan Tindakan Grafen Kebangsaan 2020 (NGAP 2020) dan Program Graphenovation di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 dan Ke-12.

Beliau berkata melalui inisiatif seperti itu, NMB sebuah agensi di bawah kementeriannya telah menghimpunkan pemain industri, universiti dan institusi penyelidikan dalam platform tiga heliks bagi merangsang permintaan pasaran dan mempercepat pertumbuhan ekosistem grafen Malaysia.

Chang berkata kementerian itu juga menyediakan sokongan lanjut kepada NMB untuk membangunkan rantaian bekalan tempatan bagi grafen melalui Dana Penyelidikan Strategik untuk Program Ekonomi Kitaran Inovasi Biojisim (BICEP).

Beliau berkata melalui BICEP, NMB bekerjasama dengan sebuah universiti tempatan untuk membangunkan teknologi tempatan bagi menukarkan biogas berasaskan kelapa sawit, khususnya biometana, kepada hidrogen dan grafen bagi menyokong Ekonomi Hidrogen yang sedang berkembang di Malaysia dan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Negara.

“Usaha ini penting kerana ia menunjukkan bagaimana sumber semula jadi dan berasaskan biojisim Malaysia boleh dinaik taraf kepada hasil pengeluaran yang bernilai lebih tinggi.

“Daripada menyifatkan metana sekadar sebagai bahan api atau sumber pelepasan, ia boleh ditukarkan melalui proses pirolisis hidrogen yang dipatenkan secara tempatan, yang menghasilkan grafen untuk menyokong pembangunan aplikasi perindustrian bernilai tinggi,” katanya.

Chang berkata ini amat penting memandangkan Malaysia kekal sebagai satu-satunya negara di ASEAN yang mempunyai program grafen pada peringkat kebangsaan, sekali gus meletakkan negara sebagai peneraju serantau dalam pembangunan aplikasi, penggunaan industri dan pengkomersialan grafen.

“Setakat ini, usaha itu juga telah menyumbang kepada peningkatan portfolio harta intelek (IP) berkaitan grafen, termasuk memfailkan 92 IP dan 16 paten yang telah diluluskan, menunjukkan kemajuan Malaysia dalam menterjemahkan penyelidikan dan pembangunan grafen kepada teknologi yang boleh dilindungi dan relevan untuk pengkomersialan,” tambah beliau.