FELDA Lantik Encorp Bangunkan 189 Unit Rumah Kakitangan

KUALA LUMPUR, 5 Jun — Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Encorp Bhd yang dilantik sebagai kontraktor utama bagi mereka bentuk dan membina perumahan kakitangan agensi itu.

Pembangunan tiga fasa itu melibatkan 189 unit rumah di beberapa negeri di wilayah timur, utara, selatan dan Sabah itu merupakan sebahagian daripada 450 unit rumah yang dirancang.

Pengerusi FELDA Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata projek perumahan itu adalah antara usaha pemangkin dalam menaikkan moral dan semangat kakitangan.

“Jika dilihat dari segi reka bentuk, harga setiap unit itu dianggarkan RM300,000 hingga RM350,000.

“Sebahagian daripada peruntukan itu disediakan lebih awal dan masih belum terkesan oleh krisis yang berlaku sekarang. Oleh itu, kita kekal (dengan pendirian) untuk melaksanakan apa yang telah ditetapkan sejak awal,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian itu di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Ahmad Shabery menegaskan walaupun Encorp merupakan anak syarikat FELDA, tiada sebarang kompromi dari segi standard dan keupayaan bagi memastikan produk serta hasil kerja yang berkualiti.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Encorp Ahmad Harzimi Mohd Taib berkata pihaknya menjangkakan Surat Setuju Terima (LoA) bagi projek 189 unit itu diterima pada bulan ini.

Menurutnya, projek itu dijangka mengambil masa selama 24 bulan untuk disiapkan yang merangkumi 62 unit rumah di Kuantan, Jengka dan Mempaga di Pahang selain di Johor Bahru dan Negeri Sembilan.

Fasa kedua pula melibatkan 63 unit rumah manakala fasa kedua merangkumi 64 unit.